Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta inovasi akan menjadi fokus utama bagi mempersiapkan guru dan murid mendepani aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Bagaimanapun, persiapan itu bukan hanya diletakkan pada bahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebaliknya ia perlu digembleng bersama dengan kementerian lain, agensi kerajaan, pihak swasta dan universiti.

Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia Datuk Mohamed Sabri Mohd Arshad berkata, pihaknya merasakan TN50 adalah satu rangka nasional yang berpandangan jauh bagi membina kehidupan rakyat Malaysia untuk tempoh 30 tahun lagi.

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, guru perlu memainkan peranan mereka dalam menyediakan murid dan pelajar yang mampu memenuhi aspirasi berkenaan.

“Kami melihat fokus Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan sangat jelas iaitu mempersiapkan generasi muda kini kerana merekalah yang akan membimbing negara pada masa depan.

“Peranan guru juga penting kerana mereka perlu menyediakan murid dan pelajar dari peringkat prasekolah sehinggalah pelajar di peringkat kolej kemahiran dan vokasional,” katanya.

Mohamed Sabri berkata, Program Sekolah Amanah (PSA) dan Program Sekolah Transformasi (PST) diwujudkan hasil kerjasama kementerian dengan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya, PSA dikembangkan kepada 83 sekolah di seluruh negara dan sebanyak 100 sekolah menyertai PST pada 2016.

Menurutnya, PST dilaksanakan bagi membangunkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan dengan menyediakan suasana bilik darjah kondusif dan fleksibel, teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkesan dan pengurusan sekolah cekap dengan mengutamakan kemenjadian murid.

“Walaupun kementerian mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi namun kerjasama pihak swasta amat ditagih bagi bersama-sama membantu kementerian dalam melahirkan pelajar yang berinovasi,” katanya.

Beliau berkata, negara maju semakin ke hadapan dalam sistem pendidikan, malah ada negara yang menyokong sepenuhnya pembelajaran maya
di mana murid tidak perlu hadir ke sekolah sebaliknya mengikuti PdP di rumah.

Buat masa ini, katanya, ada sekolah berani menggunakan peranti dan gajet sebagai medium PdP
di sekolah dan usaha itu diperhalusi di peringkat kementerian bagi melahirkan pelajar yang efisien.

“Kami menyokong konsep PdP dan ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh kerana dilihat mampu melahirkan murid dan pelajar yang berinovasi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya guru bersedia untuk berdepan setiap perubahan dalam kurikulum namun mereka perlu mendapat pendedahan menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 5:21 AM