SUHANA Abdullah, 29, bersama suami, Mohd Zaid Mat Yusof, 33 yang terlantar sakit, dan anak-anaknya. FOTO Ihsan Pembaca
SUHANA Abdullah, 29, bersama suami, Mohd Zaid Mat Yusof, 33 yang terlantar sakit, dan anak-anaknya. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias


IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib ibu yang perlu menggalas tugas berat menjaga tiga anak kecil.

Lebih menyedihkan, suaminya pula kini terlantar sakit.

Suhana Abdullah, 29, berkata, kehidupan keluarganya berubah 180 darjah selepas suami, Mohd Zaid Mat Yusof, 33, terbabit dalam kemalangan di tempat kerja menyebabkan retak tempurung kepala pada Ogos tahun lalu.

Katanya, ketika kejadian, suaminya sedang memasang papan tanda kedai di Tumpat sebelum dia tiba-tiba tergelincir jatuh dan kepalanya terhentak di jentera forklift.

“Ketika kejadian, suami baru sahaja tiga bulan membuka perkhidmatan kimpalan dengan sepupu, malah banyak lagi barang yang dibeli belum digunakan lagi.

“Niat suami mahu tambah pendapatan keluarga tapi apa daya ini pula yang terjadi,” katanya ketika menemani suami di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Katanya, suaminya baru sahaja selesai pembedahan bagi memasukkan wayar ke dalam perut bagi memudahkan dia makan dan minum, dan kini berada dalam keadaan stabil.

Suhana berkata, dia yang tidak bekerja terpaksa mengharapkan ihsan saudara bagi menampung keperluan harian suami seperti lampin pakai buang, kapas, tisu dan susu mencecah lebih RM300 sebulan.

Katanya, dia juga turut risau memikirkan nasib tiga anaknya, Muhammad Zarif Ikhwan, 4; Muhammad Zaim Irsyad, 3; dan Muhammad Zafran Aiman, tiga bulan.

“Buat masa ini, keluarga mentua dan ibu saya di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh dan Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini bergilir-gilir bantu menjaga anak kami apabila saya perlu berulang-alik ke hospital,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Suhana Abdullah di Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03103-41-00002961-6.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 1:17 PM