Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Ketika terputus bekalan makanan beberapa hari lalu, kami terpaksa minta bantuan jiran untuk membelikan sedikit beras agar anak tidak kebuluran," kata suri rumah, Suhana Zainal, 29.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, kehidupan keluarganya serba kekurangan ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Menurutnya, pendapatan suaminya, Mohd Romzan Ramli, 44, sebagai pekerja kontrak kira-kira RM1,000 sebulan, namun perlu memberi keutamaan kepada kos rawatan Nur Alisha Umairah, 5.

Katanya, ini berikutan anak kedua itu menghidap leukemia sejak Julai lalu dan menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) selain bergantung kepada ubat bagi meneruskan kehidupan.

"Setiap kali menjalani rawatan kemoterapi, kami terpaksa menyediakan wang kira-kira RM200 termasuk kos pengangkutan ulang-alik ke hospital selain Nur Alisha Umairah juga bergantung kepada susu khas disyorkan doktor.

"Nur Alisha Umairah dijadualkan menjalani lebih 10 kitaran sesi rawatan kemoterapi dan kini hospital umpama menjadi rumah kedua kami kerana kami kerap berulang-alik ke situ.

"Berikutan kekurangan sumber kewangan, kami hanya makan apa yang ada dan makanan sedap yang saya selalu masak untuk anak adalah nasi goreng," katanya.

Suhana berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan barangan keperluan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam di rumahnya di Taman Sinaran Kempas, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia juga terpaksa membawa bersama anak perempuan bongsu, Putri Melissa, sebulan ke hospital ketika Nur Alisha Umairah mendapatkan rawatan.

Suhana bersama anak-anaknya di Taman Sinaran Kempas di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Suhana bersama anak-anaknya di Taman Sinaran Kempas di sini. FOTO Mary Victoria Dass

Katanya, anak sulungnya, Nur Alia Qaisara, 12, pula akan menjaga adiknya Muhammad Adam Daniel, 2, jika dia tiada di rumah.

"Nur Alia tidak dapat bersekolah sejak tahun lalu dan berkorban demi keluarga untuk menjaga Muhammad Adam Daniel ketika saya ke hospital.

"Kami tiada pilihan walaupun sebenarnya berasa serba salah kerana Nur Alia tercicir dalam pelajaran walaupun dia minat belajar. Harapan kami adalah Nur Alia kembali bersekolah seperti biasa," katanya.

Katanya, mereka juga akan cuba memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) demi meringankan beban keluarga.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 151623064684 atas nama Mohd Romzan Ramli bagi membantu keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 3:26 PM