Kota Bharu: “Kami sekeluarga berdoa setiap hari supaya jasad Adriana ditemui segera. Saya sedar dia mungkin sudah tiada, tapi biarlah jasadnya ditemui,” kata Suhana Muhammad Abdul Ghani, 34, ibu kepada Nor Adriana Adila Asrol Afendi yang menjadi mangsa kedua banjir di Kelantan.

Bayi berusia 20 bulan itu hanyut dibawa arus deras selepas terlepas daripada dukungan Suhana ketika mereka sekeluarga cuba menyelamatkan diri jam 5 petang, Rabu lalu di Kampung Pertang, Kuala Krai.

Sehingga kini, jasad anak bongsu daripada enam beradik itu belum ditemui menyebabkan Suhana sekeluarga bersedih.

Suhana mengakui peluang menemui anaknya dalam keadaan bernyawa amat tipis selepas hilang selama empat hari namun sangat berharap Tuhan menemukan jasadnya

“Saya reda dengan takdir ini cuma saya berharap jasad Adriana ditemui kerana sekurang-kurangnya kami dapat kebumikan dengan baik.

“Ada juga kubur dia untuk kami ziarah nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya yang masih trauma dengan kejadian berlaku apatah lagi seorang lagi anaknya Nor Erini Nazirah, 9, turut patah tangan dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Katanya, jika diikutkan dia tidak mampu menanggung semua kedukaan itu namun terpaksa kuatkan diri demi lima anak yang lain.

“Apa yang berlaku sudah suratan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 8:19 AM