SUHANA dan Muhammad Akmal. FOTO Mary Victoria Dass
SUHANA dan Muhammad Akmal. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Ada yang meramalkan hubungan kami tidak lama, Alhamdulillah walaupun pelbagai cabaran dialami, bahtera rumah tangga kami bina bakal mencapai usia dua tahun pada 28 November ini," kata guru sekolah, Suhana Mohd Esa, 48.

Suhana berkata, sejak kisah perkahwinan dengan suaminya Muhammad Akmal Yusof, 23 yang juga bekas anak muridnya tular di media sosial, ia menjadi rujukan beberapa pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, walaupun perkara itu sesuatu yang baharu bagi dirinya namun dia tidak pernah menolak apabila diminta memberi nasihat dan pandangan berkaitan perkahwinan.

Katanya, dia yakin keputusan dilakukan pasangan seharusnya mengambil kira pelbagai aspek terutama ketentuan Allah.

"Ia bergantung kepada diri sendiri dan rezeki masing-masing, walaupun saya bukan pakar kaunseling dalam perkara berkenaan namun saya tidak pernah menolak apabila ada pasangan berdepan dengan situasi seperti kami.

"Jurang usia kami 25 tahun, sekiranya saya menyatakan tidak pernah timbul perselisihan faham ia adalah tidak benar kerana ia menjadi asam garam kehidupan rumah tangga.

"Namun pelbagai cabaran, kritikan dan ulasan ramai meningkatkan semangat kami memperbaiki lagi kehidupan rumah tangga sekali gus membina pemikiran positif.

"Alhamdulilah... dalam tempoh hampir dua tahun ini, suami bertambah matang dalam pengurusan rumah tangga mahupun mengurus perniagaan kami," katanya.

Suhana yang masih mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar, Kota Tinggi di sini dan memiliki pengalaman selama 18 tahun sebagai warga pendidik berkata, jatuh bangun dia dan pasangan dalam perniagaan turut memperkukuhkan lagi hubungan mereka.

Menurutnya, buat masa ini dia dan suaminya memiliki dua cawangan restoran di Kota Tinggi dan bercadang menambah cawangan di Melaka serta Kuala Lumpur pada masa depan.

Katanya, cawangan yang dibuka ketika tempoh pandemik Covid-19 di Pandan terpaksa ditutup dalam tempoh sebulan beroperasi atas faktor tertentu.

"Kenangan saya dan suami pelbagai termasuk menjadi tukang masak, pelayan dan pekerja kaunter di restoran kami dan ia menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

"Kami juga pernah bersengkang mata melakukan pelbagai urusan di restoran serta memikirkan strategi perniagaan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Akmal berkata, dia mengakui kisah berkaitan perkahwinannya yang masih tular di media sosial menambah rezeki apabila restorannya lebih dikenali dan dikunjungi ramai.

Anak keempat daripada enam beradik Itu berkata, ia termasuk pelanggan dari Singapura mahupun dari luar negeri.

"Saya sebelum ini segan bagi berdepan dengan individu namun kini saya bertambah yakin dengan diri sendiri.

"Kami berdua juga sentiasa beringat bahawa tidak akan mencampur-adukkan masalah rumah tangga dalam perniagaan.

"Kami fokus mengembangkan perniagaan dan kini memiliki produk sendiri iaitu sambal segera dalam paket yang sesuai digunakan sebagai bahan utama ketika penyediaan ikan bakar dan ia boleh didapati di cawangan restoran kami atau dibeli secara dalam talian," katanya.

Muhammad Akmal berkata, antara kenangan manis bersama isterinya termasuk mengerjakan ibadah umrah pada Disember 2021.

Pada 19 Ogos 2021 Harian Metro mendedahkan kisah percintaan Akmal dan bekas gurunya, Suhana.

Akmal selamat diijabkabulkan pada akhir November 2020 di Pejabat Agama Kota Tinggi.

Suhana mengajar mata pelajaran Sains Sukan ketika dia di Tingkatan Lima dan ketika itu hubungan mereka tidak lebih daripada seorang guru dan pelajar.

Sikap mesra Suhana membuatkannya sukakannya tetapi tidak sampai ke tahap ada perasaan cinta.

Tamat persekolahan, dia terputus hubungan selama beberapa bulan tetapi berhubung semula selepas itu atas dasar kerja urusan perniagaan yang dijalankan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 1:45 PM