Suhana melihat pokok bunga ros dan tanaman lain yang rosak akibat banjir. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Suhana melihat pokok bunga ros dan tanaman lain yang rosak akibat banjir. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya tak sempat selamatkan 70 pokok termasuk bunga ros dan tanaman lain seperti limau kasturi serta sayuran seperti sawi dan kucai yang sepatutnya boleh dikutip.

"Saya hanya sempat selamatkan pokok yang ada di kawasan rumah saja kerana air naik perlahan-lahan sebelum penuh di kawasan nurseri ini," kata Suhana Omar, 41.

Banjir di Kampung Tanjung Inggeris, Langgar itu turut menenggelamkan beberapa rumah menyebabkan sebahagian penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.

Suhana berkata, banjir kali ini lebih kurang sama seperti dialami pada 2010 apabila seluruh kawasan itu ditenggelami air.

Katanya, dia yang mengusahakan nurseri lebih setahun lalu reda apabila pendapatannya terjejas sehingga menyebabkan kerugian hampir RM3,000.

"Saya dan suami, Yazan Jusoh, 54, hanya bergantung hidup pada perniagaan nurseri ini, tapi banjir ini satu ujian buat kami.

"Saya jual 200 pokok bunga ros, 70 pokok limau kasturi dan 100 beg pelbagai jenis pokok campuran herba, tapi ada sebahagiannya rosak akibat ditenggelami air," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Suhana berkata, air mula memenuhi kawasan rumahnya sejak 21 Oktober lalu, tetapi tidak surut sepenuhnya dan naik semula selepas beberapa hari kemudian.

Katanya, dia bimbang fenomena air pasang yang dijangka berlaku Khamis ini akan menyebabkan banjir berlaku semula jika hujan lebat berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 7:46 PM