Jururawat (bertopi keledar) memberi bantuan awal kepada seorang penunggang motosikal yang tidak sedarkan diri di persimpangan lampu isyarat Sungai Pinang. FOTO Ihsan Rudy Syareme Sheriffudin
Jururawat (bertopi keledar) memberi bantuan awal kepada seorang penunggang motosikal yang tidak sedarkan diri di persimpangan lampu isyarat Sungai Pinang. FOTO Ihsan Rudy Syareme Sheriffudin
Hadzlihady Hassan


“NASIB baik ada seorang jururawat datang memberi bantuan kerana kami semua memang tak tahu nak buat apa,” kata Rudy Syareme Sheriffudin, 44, menceritakan kejadian cemas seorang lelaki yang tiba-tiba jatuh motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Sungai Pinang di Georgetown malam tadi.

Menurutnya, tindakan jururawat itu wajar dipuji kerana dia sanggup membantu tanpa mengira kaum dalam kejadian pada 8.30 malam.

Katanya, lelaki terbabit pada mulanya dilihat menunggang motosikal yang dibonceng seorang wanita dipercayai isterinya.

“Ketika itu, saya menunggang motosikal dan berhenti di sebelah pasangan terbabit kerana lampu isyarat merah, secara tiba-tiba badan lelaki itu menggeletar dengan matanya terbeliak dan mulutnya berdarah.

“Lelaki itu kemudian terjatuh daripada motosikalnya dan saya dengar isterinya menjerit nama lelaki terbabit beberapa kali tetapi tiada reaksi diberikannya,” katanya.

Rudy Syareme berkata, dia dan pengguna jalan raya lain tidak tahu untuk memberi bantuan hinggalah seorang jururawat yang masih memakai uniform kerja memberhentikan motosikal dan segera memberi rawatan kepada lelaki itu.

“Jururawat itu dengan tenang menggunakan lampu telefon bimbitnya dan menyuluh ke mata mangsa sebelum membuat pemeriksaan nadi di tangan dan leher.

“Dia turut meminta isteri serta seorang lelaki mengurut kedua-dua tangan mangsa dan tidak lama kemudian mangsa mula menyahut selepas namanya dipanggil,” katanya.

Menurutnya, ketika itu juga ambulans tiba dan kemudiannya mengejarkan mangsa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Jururawat itu mungkin dalam perjalanan pulang atau mahu ke tempat kerja dan tindakannya itu wajar dipuji kerana sanggup berhenti tanpa membuka topi keledar dan terus memberikan bantuan.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku sekiranya bantuan lambat diberikan kepada mangsa kerana semua yang berada di tempat kejadian ketika itu sudah panik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:46 PM