Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes Muhammad Adib menyalurkannya melalui saluran yang betul.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye diminta mengulas mengenai tindakan jururawat yang memberikan komen di Facebook (FB) berhubung kes kematian Muhammad Adib.

“Jururawat berkenaan sepatutnya menggunakan platform yang betul dan tidak sepatutnya komen di FB.

“Sebab kita melihat ada banyak spekulasi dalam sosial media. Ada yang benar, yang kurang tepat dan ada yang tidak benar,”

“Jadi, kita perlu memberikan maklumat melalui cara yang betul supaya maklumat itu boleh dikenalpasti sahih atau tidak,” katanya kepada media selepas hadir pada program Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Taman Rapat Setia Baru di Masjid Solatiah di Ipoh, hari ini.

Boon Chye berkata, justeru itu, KKM menggesa mereka yang terbabit termasuk jururawat itu sendiri supaya boleh tampil untuk membantu memberikan maklumat dalam inkues kematian anggota bomba berkenaan.

“Jururawat juga boleh terbabit dalam inkues berkenaan, ketika ini ada doktor yang memberi maklumat.

“Inkues sedang berlangsung dan saya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat khususnya mereka yang terbabit dalam penjagaan Adib semasa beliau berada dalam keadaan kecederaan atau semasa beliau di rawat di hospital.

“Kalau mereka yang mempunyai pandangan tersendiri, tampil ke hadapan untuk memberi maklumat supaya kita dapat mengenalpasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Sejak kelmarin, tular mengenai komen yang diberikan jururawat yang menyangkal kenyataan diberikan pakar perubatan dalam inkues kematian Muhammad Adib.

Jururawat terbabit mendakwa, dia antara beberapa kakitangan hospital yang bertanggungjawab merawat Adib.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 10:52 AM