GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


JURURAWAT wanita maut selepas skuter ditunggangnya terbabit kemalangan hingga dia terperosok ke bawah lori tangki dalam kejadian di Kilometer 5 Jambatan Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

Dalam kemalangan 2.30 petang itu, mangsa M Parithimalar, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 2.45 petang.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat mangsa.

"Ketika tiba didapati kemalangan membabitkan lori tangki dengan dua motosikal dengan salah seorang penunggang motosikal wanita maut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa lelaki berusia 25 tahun yang cedera dibawa ke hospital dengan bantuan van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Menurutnya, pemandu lori tidak cedera manakala mayat mangsa diserah kepada polis untuk urusan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 7:42 PM