GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


SEPANG, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan berisiko tinggi berlaku kebakaran hutan terutama ketika musim panas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, dua kawasan berkenaan sering dilaporkan terbakar setiap tahun.

Beliau berkata, JBPM mengkategorikan ia sebagai kawasan berisiko berlaku kebakaran dan menempatkan anggota bersedia di kawasan itu sepanjang cuaca panas ini.

“Bomba ada menerima amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

“Kita akan memantau kawasan Sepang dan Nilai serta tempat pembuangan sampah.

“Kita sensitif kepada kawasan Sepang kerana ia laluan penerbangan dan kita tidak mahu menjejaskan penerbangan berlepas dan tiba malah kawasan itu mempunyai tanah gambut paling besar di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM 2018 di JBPM Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Selain itu, Mohammad Hamdan berkata, bomba seluruh negeri bersiap sedia menghadapi cuaca panas dan menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Kita memantau kawasan tanah gambut kerana dalam keadaan cuaca kering, paras air menurun dan tanah menjadi kering. Apabila terlalu kering ia mudah berlaku kebakaran.

“Pemadaman di kawasan terbakar mengambil masa lama dan cara pemadaman juga berbeza,” katanya.

Mengikut rekod di Negeri Sembilan, 364 kes kebakaran hutan berlaku dari 1 Januari hingga 18 Februari lalu dan jumlah itu meningkat 79.31 peratus berbanding 203 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:53 PM