Tinjauan melalui udara kawasan MCKIP yang terjejas akibat asap kebakaran hutan di Sungai Ular. FOTO Farizul Hafiz Awang
Tinjauan melalui udara kawasan MCKIP yang terjejas akibat asap kebakaran hutan di Sungai Ular. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


RUANG udara di sekitar kawasan Sungai Ular, Kuantan diselubungi asap apabila sebahagian daripada kawasan 848 hektar hutan tanah gambut di kawasan itu terbakar sejak minggu lalu.

Kebakaran itu membabitkan kawasan seluas 420 hektar merangkumi kawasan hutan yang sudah dan belum diteroka.

Kejadian itu juga menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 300 iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Media yang berpeluang mengikuti tinjauan udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mendapati kawasan yang terjejas adalah berhampiran kawasan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, kebakaran itu dikesan di tiga lokasi utama iaitu di sebelah kawasan kuari, Sekolah Kebangsaan Sungai Baging dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

“Pada peringkat awal kita memberi fokus untuk memadamkan api di sekitar kawasan Sungai Baging kerana ia terletak berhampiran kawasan penempatan penduduk.

“Namun berikutan keadaan cuaca kering menyebabkan kebakaran semakin merebak dan menghampiri MCKIP sejak tiga hari lalu dan situasi itu menimbulkan kebimbangan pengurusan taman perindustrian itu,” katanya selepas meninjau kawasan kebakaran di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan Unit Udara JBPM Subang, Selangor bagi melakukan pemadaman menggunakan teknik pengeboman air.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan helikopter jenis MI 17-IV yang mampu membawa kapasiti 1,600 liter air untuk setiap ‘pengeboman’.

“Kita mendapat punca air dari tasik di dalam kawasan AMSAS dan hari ini kita melakukan 15 kali pengeboman atau pelepasan air di kawasan yang terjejas.

“Kita akan meneruskan pemadaman menggunakan teknik itu esok dan dijangka api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh dua hari,” katanya.

Nor Hisham berkata, siasatan pihaknya mendapati kebakaran itu berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, 38 anggota terbabit dalam kerja pemadaman selain dibantu 12 pekerja ladang berhampiran kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:41 PM