BOT polis Singapura dan pihak berkuasa Malaysia kelihatan di perairan antara Singapura dan Malaysia pada 6 Disember, lalu. Malaysia akan mengadakan rundingan dengan Singapura, awal tahun depan bagi mencari penyelesaian berhubung isu maritim yang belum selesai. FOTO EPA
BOT polis Singapura dan pihak berkuasa Malaysia kelihatan di perairan antara Singapura dan Malaysia pada 6 Disember, lalu. Malaysia akan mengadakan rundingan dengan Singapura, awal tahun depan bagi mencari penyelesaian berhubung isu maritim yang belum selesai. FOTO EPA
Mohd Iskandar Ibrahim


MALAYSIA akan mengadakan rundingan dengan Singapura, awal tahun depan bagi mencari penyelesaian berhubung isu maritim yang belum selesai.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, rundingan membabitkan kementeriannya dan Kementerian Luar Singapura itu akan membincangkan mengenai garisan perairan kedua-dua negara yang kini menjadi pertikaian.

"Apa yang paling mustahak ialah kedua-dua negara sudah ada persetujuan untuk mengadakan rundingan pada awal Januari depan. Sebenarnya rundingan ini sudah berlaku dalam seminggu yang lalu namun ia hanya membabitkan peringkat pegawai.

"Sebab itu kedua-dua negara buat masa ini bersetuju mengurangkan kehadiran di kawasan yang menjadi pertikaian. Oleh itu Malaysia dan Singapura hanya menempatkan satu atau dua bot di kawasan berkenaan. Apa yang penting kehadiran kita di situ ada secara minimum dan tidak agresif," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris yang bertanya sejauh mana hubungan Malaysia-Singapura membabitkan isu berbangkit baru-baru ini.

Isu pertikaian maritim itu timbul selepas republik terbabit mendakwa Malaysia menceroboh Perairan Wilayah Singapura sekitar Tuas dalam langkah memperluaskan had pelabuhan Johor Bharu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Malaysia akan sentiasa berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan bagi menjaga hubungan antara kedua-dua negara dan pada masa sama menjaga kedaulatan serta kepentingan negara.

"Saya kira Malaysia dalam soal ini sangat berdisiplin. Tidak ramai menteri yang buat kenyataan dan kenyataan kita sangat sederhana serta berhati-hati malah kenyataan Kementerian Luar semuanya bertulis supaya tidak disalah tafsir," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Malaysia juga akan berunding dengan Singapura bagi menyelesaikan isu ruang udara terutama membabitkan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

"Sistem itu akan memberi impak besar terhadap pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan. Kita akan runding sekali lagi dengan Singapura untuk menjaga kedaulatan negara dan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 1:08 PM