DATUK Dr Sahruddin Jamal. FOTO Zain Ahmed
DATUK Dr Sahruddin Jamal. FOTO Zain Ahmed
Mohamed Farid Noh


PERINCIAN mengenai rundingan semula Perjanjian Air Sungai Johor 1962 antara kerajaan Malaysia dan Singapura masih dijalankan Kerajaan Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, perincian mengenai rundingan semula itu akan dimaklumkannya apabila ia dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Memang menjadi rutin saya bertemu menteri di Putrajaya untuk berbincang pelbagai isu berbangkit membabitkan Johor termasuk isu perjanjian air Malaysia-Singapura.

“Minggu lalu, saya ada bertemu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar bagi membincangkan pelbagai isu termasuk isu air yang perlu kita selesaikan di mana ia membabitkan Malaysia, Singapura dan Johor.

“Nanti apabila sudah muktamad baru kita akan beritahu beritahu perinciannya, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Undian Berkelompok Projek Penyelenggaraan Jalan Raya MARRIS Peringkat Negeri di Menara Aqabah, Majlis Perbandanan Pasir Gudang (MPPG) di Pasir Gudang hari ini.

Ditanya bila perincian rundingan semula itu akan dimuktamadkan, Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri kini menanti tindakan susulan Kerajaan Persekutuan dan Singapura dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dilaporkan berkata, rundingan semula Perjanjian Air Sungai Johor 1962 antara kerajaan Malaysia dan Singapura bagi fasa kedua kini berlangsung dalam suasana positif dan meyakinkan.

Marzuki dilaporkan mengesahkan proses perbincangan rundingan semula harga air melalui perjanjian itu sedang rancak berjalan.

Menurutnya, delegasi Singapura diketuai Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan datang ke Malaysia bertemu dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dua minggu lalu bagi meneruskan rundingan itu.

April tahun lalu, Malaysia dan Singapura dilaporkan bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama, keputusan yang dicapai pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di Putrajaya.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061 memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudiannya membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.

Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011 tetapi republik itu menolak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 2:20 PM