DODOL yang terlekat di gigi palsu Abdul Moin. FOTO Ahmad Ismail
DODOL yang terlekat di gigi palsu Abdul Moin. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


WARGA emas, Abdul Moin Mohd Salleh, 63, berdepan detik mencemaskan selepas tercekik dodol bersama gigi palsu di rumahnya di Perumahan Genuang, Jalan Genuang, Segamat, hari ini.

Kejadian disedari isterinya, Faridah Mohd Zulkifli, 60, selepas mendapati suaminya sesak nafas ketika mereka berdua sedang menikmati dodol jam 11 pagi tadi.

Faridah berkata, dia beberapa kali menepuk tengah belakang suaminya untuk membantu.

"Dodol itu melekat bersama gigi palsu yang tertanggal ketika suami menelan menyebabkan ia tersangkut di kerongkong.

"Dodol itu baki yang dibeli sebelum Aidilfitri dan dipotong kecil. Saya sebelum ini nasihat suami supaya menanggalkan dulu gigi palsu yang sudah longgar sebelum makan tapi dia tidak mengendahkannya," katanya hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur usahanya berjaya selepas suaminya tersedak menyebabkan dodol bersama gigi palsu tercampak keluar dari mulut.

"Namun suami enggan dibawa ke pusat rawatan untuk rawatan lanjut kerana mendakwa berasa normal kembali.

"Sememangnya suami bercadang memperbaiki atau menggantikan gigi palsu yang tidak sesuai lagi itu namun kerap menangguhkannya.

"Saya sedikit sebanyak mengetahui cara penyelamatan mangsa tercekik kerana pernah menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah suatu ketika dulu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Abdullah, Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abd Razak berkata, tercekik makanan boleh membawa risiko maut.

"Jadi kita mesti tahu langkah pertolongan cemas untuk menyelamatkan mereka yang tercekik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 4:56 PM