Anuar Wahid ditemui selamat oleh nelayan. - Foto Rosli Ilham
Anuar Wahid ditemui selamat oleh nelayan. - Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


KAKITANGAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing dengan bot gentian kaca di kawasan perairan Kuala Dungun tengah hari semalam, ditemui selamat hari ini.

Anuar Wahid, 50, ditemui selamat kira-kira 9 pagi di perairan Pulau Tenggol kira-kira 15 batu nautika dari Kuala Dungun.

Lelaki itu dikatakan ke laut untuk memancing bersendirian kira-kira 8 pagi semalam, namun tidak pulang menyebabkan isterinya, Faridah Mamat, 49, membuat laporan di Balai Polis Dungun, hari ini.

Faridah berkata, dia yang beberapa kali gagal menghubungi suaminya, pergi ke pangkalan tempat nelayan tempatan berkumpul di Kuala Dungun.

"Saya bertanya sama ada mereka menemui suami di laut tetapi semua nelayan beritahu tidak bertemu dengannya.

"Saya bertambah risau kerana sebelum suami keluar, dia ada beritahu akan pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana suaminya ditemui selamat dan dibawa ke Jeti Nelayan Kuala Dungun kira-kira 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, selepas menerima laporan, pihaknya melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Sebaik operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pagi ini, kami menerima laporan mangsa sudah ditemui selamat oleh nelayan," katanya.

Menurutnya, enjin bot mangsa rosak ketika dalam perjalanan pulang menyebabkan hanyut dan lelaki itu gagal menghubungi rakannya untuk mendapatkan bantuan kerana telefonnya kehabisan bateri.

“Mangsa ditemui 9 pagi oleh nelayan tempatan yang kebetulan melalui kawasan itu dan memberi bantuan kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 3:49 PM