Nor Akmar Samudin


PROGRAM agihan beg sekolah yang diadakan di Taman Greenwood, Gombak, hari ini bertukar kecoh apabila orang ramai berasak-asak untuk mendapatkannya.

Agihan membabitkan 900 beg sekolah itu dilakukan guru Sekolah Kebangsaan Gombak (1) Cikgu Mohd Fadli Salleh bersama rakan-rakannya.

Difahamkan, orang ramai sudah beratur panjang seawal jam 3 petang berhampiran sebuah stesen minyak di Gombak.

Menurut Mohd Fadli, dia memperuntukkan sebanyak RM90,000 untuk membeli beg dan kasut sekolah sepanjang tiga minggu lalu hasil sumbangan daripada guru, kawan-kawan dan rakan Facebooknya.

“Saya mula melakukan kerja amal ini sejak lima tahun lalu bagi membantu anak murid saya.

“Kebanyakannya dari keluarga susah, (mereka) datang ke sekolah dengan kasut dan beg koyak. Kemudian saya pergi ke rumah-rumah murid itu memberi sumbangan makanan,” katanya.

Mengenai orang ramai yang berasak- asak untuk mendapatkan peralatan sekolah itu, kata Mohd Fadli, dia percaya ada pihak lain yang menularkan berita agihan itu di media sosial.

“Selalunya saya hanya hebahkan dalam kumpulan Whatsapp saya dan juga di FB saya sehari sebelum agihan dilakukan.

“Saya sudah jangkakan ramai akan datang, tetapi saya tak sampai hati nak membatalkan acara ini. Kepada yang tidak dapat beg sekolah itu, mereka boleh boleh pergi ambil kasut dan stokin di kedai terbabit,” katanya.

Katanya, agihan peralatan sekolah itu sebenarnya untuk ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan.

Sementara itu, seorang ibu dikenali sebagai Nia Shafie berkata, Cikgu Mohd Fadli kerap melakukan kerja amal.

“Minggu lalu Cikgu Fadli sudah pun mengagihkan kasut sekolah kepada masyarakat setempat.

“Ini adalah agihan kali kedua, tetapi selepas ia ditularkan di laman sosial, keadaan hari ini menjadi kecoh apatah lagi hari ini cuti hujung minggu.

“Cikgu Fadli yang begitu dikenali oleh masyarakat setempat juga sering membantu golongan kurang berkemampuan termasuk asnaf,” katanya.

Berikutan kekecohan yang berlaku, sepasukan anggota dari Balai Polis Gombak datang untuk meredakan keadaan.

Jurucakap polis berkata, agihan itu sepatutnya dilakukan di tempat yang lebih sesuai seperti di padang sekolah.

“Kami tiada halangan untuk Cikgu Fadli melakukan agihan itu tetapi apabila orang ramai mula berasak-asak, keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:32 PM
CIKGU Mohd Fadli (tengah) mengagihkan beg sekolah di Taman Greenwood, hari ini. Foto MAHZIR MAT ISA
CIKGU Mohd Fadli (tengah) mengagihkan beg sekolah di Taman Greenwood, hari ini. Foto MAHZIR MAT ISA