AHLI kumpulan MUZIRAT, Muhammad Asyraf Sudirman, 18, (tengah) bersama rakan menunjukkan senduk, selipar jepun, kuali, pelita dan tong sampah yang dijadikan alat muzik.
AHLI kumpulan MUZIRAT, Muhammad Asyraf Sudirman, 18, (tengah) bersama rakan menunjukkan senduk, selipar jepun, kuali, pelita dan tong sampah yang dijadikan alat muzik.
HM Digital

Kota Bharu: Siapa sangka di sebalik kegunaan kuali, senduk dan periuk di dapur, perkakas ini juga boleh digunakan dalam menghasilkan muzik instrumen moden.

Itulah keunikan diperkenalkan Kumpulan Pemuzik Rakyat Kelantan (MUZIRAT) yang menggunakan peralatan dapur dan bahan kitar semula sebagai alat muzik dalam persembahan mereka.

Alunan dari alat muzik juga luar biasa dan tidak hairanlah kumpulan berkenaan menerima banyak jemputan sehingga pernah menerima bayaran RM10,000 untuk satu persembahan.

Lebih menarik, mereka menggunakan peralatan dapur dan bahan terbuang seperti tempayan lama, tong sampah, selipar getah, baldi, periuk lama, pelita dan penutup botol bagi menghasilkan alunan muzik umpama menggunakan alat muzik moden sebenar.

Pengerusi MUZIRAT Mohd Yassin Yaakob atau lebih mesra dipanggil ‘Cikgu M.Y’ berkata, alatan itu mampu membawa pelbagai genre muzik termasuk ghazal dan juga dapat mengiringi persembahan makyong, dikir barat, animasi Hanuman serta balada dan irama Malaysia.

“Kumpulan ini sudah 14 tahun menggunakan alat kitar semula dan perkakas dapur dalam persembahan sejak 2004 sebelum ditubuhkan secara sah pada 2007.

“Sehingga kini, kami sudah mengadakan lebih 1,000 persembahan termasuk di hotel, istana, majlis makan malam dan majlis keraian di seluruh Malaysia.

“Kumpulan kami mempunyai 33 ahli berusia 16 hingga 75 tahun,” katanya ditemui ketika membuat latihan di Kampung Kok Lanas.

Mohd Yassin berkata, penggunaan bahan terbuang bukan sesuatu yang pelik kerana itulah cara orang zaman dahulu berhibur sekitar tahun 30-an dan 40-an sebelum wujudnya rebana dan gendang tradisional.

“Idea ini juga asalnya tercipta untuk mencari kelainan dalam berhibur selain mengangkat kembali lagu rakyat yang penuh unsur nasihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:03 AM