GUNA peralatan muzik kitar semula.
GUNA peralatan muzik kitar semula.
Aniza Zainudin


SIAPA sangka kombinasi ‘pukulan’ dan ‘ketukan’ pada tong sampah, botol kaca, tin minuman menggunakan batang mop dan biji kacang hijau mampu menghasilkan irama muzik menarik mengikut genre pilihan ciptaan ahli kumpulan, Rhythm of Eco.

Pemuzik Rhythm of Eco terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 10 Kota Damansara ini sememangnya mula dikenali apabila menonjolkan keunikan, kreativiti serta potensi cemerlang dalam memanfaat­kan ilmu muzik bersama elemen kitar semula.

Guru penasihatnya, Roslinda Mohd Damanhuri berkata, idea untuk menubuhkan kumpulan berkenaan tercetus apabila menghadiri satu majlis koir sekolah yang menjadikan barangan terbuang kepada alat muzik.

“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian itu, kami mengambil idea sama untuk dilaksanakan di sekolah ini, tambahan pula, kami tidak mempunyai kelas muzik.

“Jadi, kelab ini satu daripada usaha untuk menarik minat pelajar, di samping mengguna pakai konsep kitar semula.

“Kami bermula dengan 15 ahli pada permulaannya, kini kelab ini terdiri daripada kira-kira 50 ahli merang­kumi pelajar tingkatan satu hingga lima.

“Sebagai guru penasihat, saya bertanggungjawab untuk memantau dan membantu mereka dalam persembahan, manakala pengurusan serta gubahan lagu dilakukan sepenuhnya oleh pelajar.

“Melalui cara ini, kami dapat membentuk kemenjadian pelajar apabila mereka berani memikul tanggungjawab, mengambil risiko dan berkorban apabila sanggup mengorbankan cuti sekolah untuk mengadakan latihan.

“Selain itu, mereka juga saling membantu dan berkongsi pengalaman bersama rakan lain. Melihat dedikasi yang dicurahkan, bakat dan kesungguhan mereka berjaya meraih perhatian, malah kerap mengadakan persembahan ketika menyambut kedatangan tetamu ke sekolah ini. Ia merangkumi orang tempatan dan asing seperti Jepun dan Korea,” katanya ketika ditemui.

TERIMA jemputan korporat.
TERIMA jemputan korporat.

Ditubuhkan di bawah Kelab Kebudayaan dan Kesenian, Roslinda mengakui cabaran utama adalah segi kewangan dan mendapat­kan bahan terbuang yang bersesuaian.

Mempromosikan budaya kitar semula, guru Bahasa Inggeris ini mengakui pelajarnya mencari idea dan inspirasi menerusi YouTube bagi menghasilkan muzik persembahan.

Difahamkan terdapat lebih daripada 20 rentak muzik daripada pelbagai genre berjaya dihasilkan ahli kumpulan Rhythm of Eco.

Jelasnya, satu lagu mengambil masa satu minit 20 saat untuk dimainkan. Bagi satu persembahan yang memakan masa 10 minit memerlukan kira-kira lapan lagu dimainkan.

Dikategorikan identiti sekolah, kumpulan ini juga aktif menyertai pertandingan serta menerima jemputan korporat seperti sempena pembukaan Earth Hour, acara Rhythm of Rimba bersama Rentak Eijau.

Berkongsi perancangan, Roslinda merangka untuk menambah peralatan

muzik kitar semula dan mencari peluang bagi perkembangan bakat ahli kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:20 AM