Nur Adibah Mohd Azhar (kiri) bersama Nur Syaqila Aysiqin Hasan (dua dari kiri), Nur Batrisya Aqilah Rozamani dan Nur Alyssa Hanim Abdul Rahim (kanan) terpilih mewakili Negeri Sembilan ke Program Toyota Ecoyouth 2019 di Shah Alam pada Khamis ini. Foto Amran Yahya
Nur Adibah Mohd Azhar (kiri) bersama Nur Syaqila Aysiqin Hasan (dua dari kiri), Nur Batrisya Aqilah Rozamani dan Nur Alyssa Hanim Abdul Rahim (kanan) terpilih mewakili Negeri Sembilan ke Program Toyota Ecoyouth 2019 di Shah Alam pada Khamis ini. Foto Amran Yahya
Amran Yahya


SISA buangan plastik boleh digunakan untuk turap jalan, itulah hasil inovasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di Kuala Pilah yang berjaya mencipta alat pemanas plastik menggunakan tong drum.

Ciptaan empat pelajar tingkatan empat itu melayakkan mereka mewakili Negeri Sembilan ke Program Toyota Ecoyouth 2019 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Shah Alam, Selangor pada Khamis ini.

Keempat-empat pelajar terbabit ialah Nur Batrisya Aqilah Rozamani, Nur Syakilla Asyiqin Hasan, Nur Adibah Mohd Azhar dan Nur Alyssa Hanim Abdul Rahim masing-masing berusia 16 tahun.

Ketua kumpulan, Nur Syakilla berkata, empat kategori penciptaan dipertandingkan iaitu air, udara, tumbuhan dan kitar semula atau kitar tinggi sudah ditetapkan oleh pihak penganjur tetapi setiap sekolah bebas memilih.

Menurutnya, mereka yang dibantu guru penyelaras, Iswal Hamizah Jamil memilih kitar semula dan kitar tinggi untuk projek reka cipta itu.

“Kami menggunakan tong drum terbuang yang dikitar semula dan dibahagi kepada dua bahagian iaitu atas dan bawah.

“Bahagian atas adalah ruang diisi dengan sabut kelapa dan serbuk arang yang berfungsi sebagai penapis asap bagi mengurangkan pencemaran manakala bahagian bawah ditempatkan dapur untuk digunakan bagi memasak bahan buangan plastik bersama batu kecil.

“Apabila campuran plastik cair dan sebati dengan batu, ia akan dikeluarkan dan boleh digunakan untuk menurap jalan berlubang.

“Namun, kerja menurap harus dibuat cepat kerana campuran itu akan keras (beku) dalam beberapa saat,” katanya ketika ditemui di sekolahnya hari ini.

Nur Syakilla berkata, bahan yang dihasilkan itu amat berkualiti dan tahan lama kerana ia berfungsi seperti gam dan melekat dengan kuat.

Sementara itu, Pengetua SMK Tunku Kurshiah Siti Norezan Jalil berkata, ia kali pertama sekolahnya menyertai program berkenaan dan bersyukur terpilih ke peringkat akhir.

“Pada fasa pertama, sebanyak 80 video dari sekolah seluruh negara dihantar untuk menyertai pertandingan itu dan hanya 12 terpilih ke peringkat akhir.

“Bagi fasa kedua, sekolah yang terpilih perlu menghadiri bengkel dan latihan selama tiga hari di Putrajaya.

“Peserta juga menerima wang tunai RM2,000 daripada penganjur untuk digunakan bagi menghasilkan prototaip,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedia berkongsi hasil rekaan berkenaan demi memastikan bahan plastik dikitar semula dan dimanfaatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 3:36 PM