MOHAMED Azmin Ali. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Azmin Ali. FOTO arkib NSTP
Norrasyidah Arshad; Mohd Iskandar Ibrahim dan Norlela Zulkifli

KEPUTUSAN tidak rasmi pemilihan PKR menyaksikan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memintas kedudukan pencabarnya yang juga Naib Presiden parti itu Rafizi Ramli dengan kelebihan 812 undi.

Berdasarkan keputusan terkini fasa ketiga pemilihan di Selangor semalam, menyaksikan Mohamed Azmin kini memperoleh 49,386 undi manakala Rafizi bekas Ahli Parlimen pandan memperoleh 48,574 undi.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan pemilihan yang dijalankan di 12 negeri.

Daripada jumlah itu, enam negeri sudah memuktamadkan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selebihnya adalah negeri yang masih lagi memuktamadkan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu dan dua di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah serta Perak.

Di SHAH ALAM: Mohamed Azmin Ali menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli di Selangor biarpun pemilihan parti itu di Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan masalah e-undi.

Lima cabang yang melakukan pemilihan pada fasa ketiga iaitu Tanjong Karang, Pandan, Ampang, Shah Alam dan Hulu Langat memilih bekas Menteri Besar Selangor itu untuk terus mengekalkan jawatan yang disandang berbanding Naib Presiden PKR itu.

Azmin memperoleh 4,138 undi manakala Rafizi mendapat 2,097 dengan kelebihan 2,041 undi.

Mengikut jumlah keseluruhan ketiga-tiga fasa pengundian di negeri ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu meninggalkan Rafizi dengan majoriti 3,408 selepas mendapat undian keseluruhan 21 cabang sebanyak 18,453, berbanding 15,045 yang diterima pesaingnya.

Jika perwakilan di Kuala Selangor memilih Rafizi sekalipun, jumlah undian tetap tidak dapat menggugat kedudukan Mohamed Azmin.

Dalam pemilihan yang berlangsung hari ini, tidak ada satu cabang yang menyebelahi bekas Ahli Parlimen Pandan terbabit.

Pemilihan di cabang Pandan, kawasan yang pernah di wakili Rafizi sebagai Ahli Parlimen juga tidak memberi laluan kepada beliau sebaliknya Mohamed Azmin mendahului dengan majoriti 207 undi.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak memperoleh 715 undi berbanding Rafizi yang hanya mendapat 508 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memperoleh 747 undi diikuti, ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar (691); ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar (569) dan bekas ahli Parlimen Batu, Tian Chua (536).

Bagi pemilihan peringkat cabang pula, Rafizi diumumkan sebagai Ketua Cabang Pandan baharu selepas menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Exco Selangor, Haniza Mohd Talha yang mendapat 405 undi, Nor Hayati Haron 353 dan Mohamad Shauki Mohd Hashim 71 undi.

Sementara itu di AMPANG, Mohamed Azmin mencatat kemenangan apabila memperoleh 1,151 undi berbanding 178 undi yang diraih Rafizi dengan majoriti 973 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, kesemua regu Mohamed Azmin menguasai kedudukan pertama hingga ketiga dengan Zuraida Kamaruddin memperoleh 1,264 undi, Tian Chua (868 undi) dan Shamsul Iskandar Mat Akin (800 undi).

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berjaya mendapat 417 undi dan Dr Xavier Jayakumar memperoleh 332 undi.

Bagi jawatan Ketua Cabang pula,Zuraida menang tanpa bertanding, manakala Timbalan pula dimenangi oleh Hamsah Djabir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 10:44 PM