Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
Mohd Iskandar Ibrahim

WALAUPUN keputusan rasmi belum diperoleh, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021.

Menerusi status yang dimuat naik menerusi akaun Twitter rasminya, Mohamed Azmin berterima kasih kepada semua anggota PKR yang bersamanya dalam meneruskan agenda reformasi.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya.

Keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2018 yang berakhir semalam menyaksikan Mohamed Azmin terus mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli dengan majoriti 3,956 undi selepas memperoleh 70,550 undi berbanding Rafizi yang mendapat 66,594 undi.

Majoriti itu diperoleh selepas Mohamed Azmin meraih kemenangan besar pada pemilihan kedua di Sarawak dan pemilihan semula beberapa cabang di Negeri Sembilan, Melaka serta Selangor.

Bagaimanapun, Rafizi dilihat berpeluang mengejar Mohamed Azmin apabila terdapat ribuan undi ragu daripada 14 negeri yang sudah melaksanakan pemilihan sejak 22 September lalu belum dikira, selain keputusan di Cabang Julau dan Tawau yang masih tertangguh.

Tiga lagi sekutu Mohamed Azmin turut berada dalam keadaan selesa bagi merebut empat slot jawatan Naib Presiden apabila Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin meraih 52,226 undi diikuti Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar (47,566 undi) manakala bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendapat 42,068 undi.

Bagaimanapun, satu-satunya calon yang bukan dari pasukan bekas Menteri Besar Selangor itu, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh meninggalkan jauh 12 pencabarnya selepas meraih 67,050 undi.

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut diungguli kem Mohamed Azmin apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mendahului dua pencabarnya apabila meraih 14,000 undi setakat ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memperoleh 13,169 undi manakala ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi mendapat 2,982 undi.

Begitu juga bagi jawatan Timbalan Ketua AMK, setiausaha politik Mohamed Azmin, Hilman Idham mendahului saingan dengan majoriti 8,411 undi selepas memperoleh 16,951 undi berbanding sekutu Rafizi, Raymond Ahuar yang memperoleh 8,440 undi.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, ADUN Taman Medan Haniza Mohd Talha mendapat 24,179 undi mendahului sekutu Rafizi, Fuziah Salleh yang mendapat 19,662 undi manakala persaingan Timbalan Ketua sayap itu menyaksikan sekutu Mohamed Azmin iaitu Daroyah Alwi, meraih 23,599 undi berbanding pesaingnya Rodziah Ismail (18,006 undi).

Bagi persaingan anggota MPP, pasukan Timbalan Presiden PKR itu menguasai 15 daripada 20 slot yang ditawarkan antaranya. Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Sebanyak enam negeri sudah memuktamadkan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala bakinya adalah negeri yang belum memuktamadkan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu, dua dan tiga di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Perak, Sabah serta Sawarak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 4:08 PM