AZMIN Ali. FOTO arkib NSTP
AZMIN Ali. FOTO arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman dan Fahmy Azril Rosli

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli dalam usaha mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dengan majoriti 4,659 undi.

Ia selepas Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 62,418 undi berbanding Rafizi yang mendapat 57,759 undi.

Ia adalah keputusan tidak rasmi setakat ini diperoleh daripada 14 negeri yang sudah melaksanakan pemilihan sejak 22 September lalu sehingga hari ini (11 November).

Bagaimanapun, setakat ini hanya enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah memuktamadkan keputusan pemilihan.

Bagi jawatan Naib Presiden, penyandangnya yang Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mendahului senarai calon yang merebut jawatan itu dengan memperoleh 67,050 undi.

Ia diikuti rapat Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin (52,226 undi), Ahli Parlimen Kuala Langat dan juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (47,566 undi) dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (42,608 undi).

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) diungguli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mendahului dua pencabarnya apabila meraih 14,000 undi setakat ini.

Pencabar terhampirnya, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memperoleh 13,169 undi manakala ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi mendapat 2,982 undi.

Begitu juga bagi jawatan Timbalan Ketua AMK yang menyaksikan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham mendahului saingan dengan memperolehi 16,951 undi.

Pencabarnya lain iaitu Raymond Ahuar dan Naqiuddin Nazrin, masing-masing memperoleh 8,440 undi dan 2,712 undi.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha mendapat 24,179 undi mendahului pesainganya iaitu Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh yang mendapat 19,662 undi.

Persaingan Timbalan Ketua sayap itu tidak pula kurang hebatnya apabila menyaksikan Dr Daroyah Alwi, meraih 23,599 undi berbanding pesaingnya Rodziah Ismail (18,006 undi).

Bagi persaingan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sekutu Mohamed Azmin menguasai 15 daripada 20 slot yang ditawarkan antaranya, Ketua Cabang PKR Sungai Tua, Amirudin Shari; Pengerusi Biro Politik PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Rashid Hasnon dan Ketua Cabang PKR Subang, R Sivarasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 9:51 PM