SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti program anjuran Unilever.
SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti program anjuran Unilever.

Tabiat mencuci tangan dengan betul antara langkah awal bagi mencegah jangkitan kuman dan bakteria. Justeru, kanak-kanak seharusnya didedahkan dengan tabiat ini sejak kecil supaya menjadikan amalan ini sebagai satu budaya hidup.

Mungkin ramai beranggapan mencuci tangan dengan air saja sudah memadai, namun tahukah anda penggunaan sabun penting bagi menghindari bakteria yang membawa penyakit berbahaya?

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mencuci tangan dengan sabun, Unilever Malaysia, baru-baru ini menganjurkan satu siri aktiviti berpendidikan untuk lebih 3,770 pelajar di sekitar Kelantan.

Melalui program itu, pelajar dididik langkah mencuci tangan yang betul bagi menghindarkan bakteria terutama ketika musim tengkujuh di mana risiko mendapat penyakit adalah tinggi.

Aktiviti berpendidikan ini dijalankan bagi menyempurnakan siri bantuan Unilever Malaysia kepada komuniti di Kuala Krai yang terjejas teruk akibat banjir, awal tahun ini.

Aktiviti ini dijalankan di tujuh sekolah terpilih di Kelantan dan pelajar diperkenalkan dengan tujuh langkah mencuci tangan dengan betul. Mereka turut didedahkan dengan panduan menjaga kesihatan ketika musim tengkujuh dan diberikan bekalan sabun untuk mempraktikkan langkah mencuci tangan seperti yang dipelajari.

Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Unilever Malaysia dan Singapura, Ling Ming Choo berkata, penjagaan kebersihan diri amat penting terutama ketika berdepan situasi kecemasan seperti banjir.

“Unilever mengangkat kepentingan kebersihan dan sanitasi yang menjadi sebahagian daripada Pelan Kehidupan Lestari Unilever. Kami memberi komitmen di peringkat global untuk membantu lebih satu bilion pengguna untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup menjelang 2020.

“Selain itu, kami ingin mempromosikan kebersihan tangan dalam menghindari penyebaran penyakit kepada pelajar sekolah supaya mereka boleh memberi pengaruh baik buat seisi keluarga,” katanya.

Selain itu, kemusnahan yang dialami penduduk Kuala Krai turut mendorong Unilever Malaysia untuk menyediakan kemudahan bilik mandi dan tandas di balai raya yang sudah diperbaharui.

Katanya, penjagaan kebersihan diri adalah fokus Unilever Malaysia dalam membantu penduduk kawasan itu untuk memastikan kelestarian hidup dengan memberikan kemudahan kebersihan dan sanitasi supaya boleh dinikmati semua penduduk.

Selain program mencuci tangan, Unilever Malaysia turut mengusahakan pelbagai bentuk bantuan sepanjang tahun ini termasuk pemulihan semula 60 kedai peruncit sekitar kawasan terbabit dan memberikan stok barangan Unilever secara percuma.

Selain itu, Unilever turut terbabit dalam pembinaan semula balai raya bagi membangkitkan semangat komuniti penduduk. Antara kemudahan yang terdapat di balai raya itu adalah perpustakaan mini, ruang dapur dan taman permainan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 4:58 AM