DARI kiri, Dr Zamberi, Elizabeth, Tiffany, Dr Bee Kiau dan Hoh.
DARI kiri, Dr Zamberi, Elizabeth, Tiffany, Dr Bee Kiau dan Hoh.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PENYAKIT berjangkit dikatakan semakin meningkat kerana amalan mencuci tangan dan kebersihan komprehensif diamalkan ketika pandemik Covid-19 sudah berkurangan.

Pengerusi Majlis Kebersihan Global (GHC), Profesor Emeritus Elizabeth Scott berkata, kesan buruk penyakit berjangkit terhadap masyarakat tidak pernah sebegini jelas.

Memandangkan pandemik Covid-19 menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, 'pandemik senyap' kerana kerintangan antibiotik (AMR) sedang berlaku, di mana AMR diiktiraf antara ancaman terbesar kepada kesihatan manusia.

Kata profesor emeritus itu, dianggarkan, pada 2019, kematian 4.95 juta individu dikaitkan dengan jangkitan bakteria yang kebal terhadap antibiotik.

Katanya, jika tiada tindakan diambil bagi menghentikan penyebaran AMR, angka itu boleh meningkat kepada 10 juta kematian setahun menjelang 2050.

"GHC mengiktiraf amalan kebersihan seperti mencuci tangan sebagai satu cara bagi menangani AMR melalui pengurangan risiko jangkitan selain keperluan untuk antibiotik.

"Ini kerana kebersihan tangan boleh membantu mengurangkan penyebaran jangkitan, sekali gus melindungi satu dalam tiga kanak-kanak yang terjejas dengan cirit-birit dan menunjukkan pengurangan 30 peratus dalam preskripsi antibiotik untuk kanak-kanak yang mengalami jangkitan pernafasan.

"Untuk itu, kami gesa kerajaan dan penggubal dasar meningkatkan kepentingan kebersihan bagi melindungi berjuta-juta nyawa," katanya pada sesi perbincangan mengenai kepentingan penambahbaikan amalan kebersihan, konteks kesihatan global dan landskap kesihatan awam tempatan di ibu negara, baru-baru ini.

Panel anjuran jenama perlindungan kuman, Dettol dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Kebersihan Global (GHC) dan Watsons itu diadakan untuk bertukar pandangan mengenai kepentingan penambahbaikan amalan kebersihan, konteks kesihatan global dan landskap kesihatan awam tempatan.

Ia turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Pemasaran Kesihatan, Malaysia dan Singapura Reckitt, Tiffany Tang, Pakar Penyakit Berjangkit, Profesor Dr Zamberi Sekawi, Dr Ho Bee Kiau (KKM) dan Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Pelanggan Watsons Malaysia, Danny Hoh.

Hasil perbincangan mendapati penyakit berjangkit semakin meningkat kerana amalan mencuci tangan dan kebersihan komprehensif diamal ketika pandemik kini semakin berkurangan.

Perbincangan itu juga mendapati penularan penyakit berjangkit dan kesan perubahan iklim kini semakin meningkat.

Dalam memerangi penyakit berjangkit, amalan kebersihan yang baik adalah barisan pertahanan pertama kita.

Dr Zamberi berkata, cabaran global baru-baru ini yang ditimbulkan penyakit berjangkit banyak menekankan keperluan untuk mematuhi langkah asas yang berkesan itu.

"Di peringkat tempatan, lima jangkitan paling biasa berada di tangga teratas sejak 2021 ialah Covid-19, demam denggi, tuberkulosis, keracunan makanan serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang mana tiga daripadanya boleh dikurangkan melalui amalan kebersihan tangan yang baik.

"Dengan menerapkan kebersihan yang baik ke dalam rutin harian kita dan mempromosi kepentingannya dalam kalangan komuniti, kita boleh kurangkan penyebaran penyakit berjangkit dan membina masyarakat yang lebih sihat," katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu berterusan itu, jenama perlindungan kuman, Dettol bekerjasama dengan KKM untuk memperkasa amalan kebersihan yang lebih berkesan di seluruh negara, selaras dengan program Madani Afiat.

Ia adalah platform yang direka KKM untuk menyalurkan maklumat mengenai pencegahan penyakit dan kebersihan yang penting kepada orang ramai melalui inisiatif jangkauan komuniti.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh misi utama jenama dalam melindungi nyawa, mengurangkan beban penyakit dan memacu perubahan tingkah laku yang mewujudkan tabiat kebersihan sepanjang hayat.

Selain itu, kempen kesedaran awam bagi menyemai tabiat kebersihan yang berkesan dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyebarkan maklumat penting mengenai amalan mencuci tangan turut diadakan.

Kini ia sudah membabitkan 250,000 pelajar dengan sasaran keseluruhan empat juta pelajar menjelang 2024.

Melalui pelbagai platform dan pembabitan pengguna di lapangan, kolaborasi itu menjadi mercu tanda penting dalam komitmen bersama untuk mengurangkan insiden ponteng sekolah dan mewujudkan tabiat kebersihan yang berpanjangan.

"Amalan kebersihan yang baik adalah asas masyarakat lebih sihat. Ia membentuk barisan pertahanan pertama melawan penyakit boleh dicegah dan memainkan peranan penting menjaga kesihatan awam.

"Dengan amalan tabiat kebersihan yang betul, kita memperkukuh daya tahan kolektif kita, sekali gus memupuk komuniti lebih selamat dan bertenaga untuk semua," kata Dr Bee Kiau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 7:02 AM