ANGELINE (kiri) dan Dr Khalid bersama pelajar yang menyertai kempen cuci tangan anjuran Antabax.
ANGELINE (kiri) dan Dr Khalid bersama pelajar yang menyertai kempen cuci tangan anjuran Antabax.

Menurut kajian, secara purata, tangan manusia me­ngandungi hampir 150 spesies bakteria berlainan manakala 80 peratus daripada semua jangkitan tersebar melalui tangan yang tidak bersih. Mencuci tangan satu-satunya cara paling efektif bagi mencegah penyebaran jangkitan penyakit berbahaya.

Penyebaran penyakit mudah berjangkit boleh dikurangkan dengan mengajar kanak-kanak menerusi kaedah mencuci tangan dengan betul. Kanak-kanak senang menerima mesej dan diharap mereka dapat menyampaikannya kepada yang lebih berusia terutama ibu bapa.

Menyedari penting­nya mencuci tangan dengan betul, Antabax dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh melancarkan kempen Amalkan Budaya Cuci ­Tangan (ABC) bagi memberi kesedaran dan memudahkan anak-anak kecil di sekolah rendah menghayati amalan kebersihan yang baik dengan sokongan daripada abang dan kakak Kelab Dr Muda.

Kempen bertemakan Kembali Ke Sekolah Kekal Sihat Semudah ABC yang dilancarkan di hospital terbabit bertujuan memupuk tabiat kebersihan dalam kalangan pelajar tahun satu dengan mengajar mereka asas ­kebersihan tangan yang baik dan memperkenalkan pelajar senior daripada Kelab Doktor Muda sebagai contoh ikutan.

Tiga sekolah terbabit dalam kempen ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sungai Buloh, Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra ­dengan lebih 3,000 pelajar dididik mengenai asas kebersihan yang lebih efektif bagi ­mencegah penyebaran ­penyakit mudah berjangkit melalui tangan yang tidak bersih.

Menurut Pengurus Produk Kumpulan Bahagian Pemasaran Penjagaan Diri & Isi Rumah Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd Angeline Sim, keperluan bagi memperkukuhkan tabiat membasuh tangan dalam mencegah penyebaran penyakit mudah berjangkit seperti demam selesema dan cirit-birit dapat dilihat pada situasi yang berlaku di penempatan mangsa banjir di sekolah.

Sejak kejadian banjir di pantai timur, Perak dan Johor, penekanan amalan kebersihan yang baik pada kanak-kanak dan dewasa menjadi semakin penting sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan penyebaran penyakit mudah berjangkit bawaan udara dan air. Keadaan cuaca sekarang yang dingin disebabkan udara sejuk dari arah timur laut juga mungkin menyumbang kepada peningkatan kes selesema.

"Tabiat kebersihan yang baik penting sepanjang masa, tetapi ia menjadi lebih ­penting apabila sekumpulan individu tinggal, belajar atau bekerja dalam keadaan sesak dan berkongsi kemudahan seperti bilik air. Bagi kanak-kanak yang akan meninggalkan alam tadika dengan nisbah pelajar kepada guru yang rendah, mereka perlu lebih berdikari, tabiat membasuh tangan perlu ditanam pada peringkat awal dan diulang bagi mengurangkan risiko menjangkiti atau dijangkiti penyakit yang disebarkan melalui tangan yang tidak bersih," kata Angeline yang berhasrat melanjut­kan kempen ke negeri yang kini dalam proses pembinaan semula selepas banjir.

Pembabitan ibu bapa wajib dalam memperkukuh­kan tabiat kebersihan yang baik. Itu sebabnya Antabax memberi hadiah produk kepada kanak-kanak untuk ­dihadiahkan kepada ibu mereka. Sekadar mempelajari mengenai kebersihan di sekolah saja atau di majlis sedemikian tanpa sokongan ibu bapa memang tidak mencukupi.

Antabax, rangkaian penjagaan diri antibakteria dari Malaysia, mempromosi kebersihan dan kesihatan menerusi program pendidikan, kesedaran dan latihan yang inovatif. Jenama ini bekerjasama rapat dengan Hospital Sungai Buloh, sebuah pusat kecemerlangan terkenal dalam pencegahan dan rawatan penyakit mudah berjangkit di Malaysia.

Pengarah Hospital Su­ngai Buloh, Dr Khalid Ibrahim berkata, walaupun hospital adalah pusat kecemerlangan negara, ia perlu menitikberatkan program yang akan memperbaiki taraf kesihatan masyarakat.

"Pendekatan kami adalah pencegahan penyakit mudah berjangkit sebagai lang­kah pertama. Pengetahuan, amalan dan pembentukan tabiat baik kebersihan ­tangan dan keseluruhan mampu menjadi senjata yang amat efektif dalam mengurangkan penyebaran penyakit mudah berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:48 AM