ANTARA individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ANTARA individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG lelaki tidak menyangka kereta yang dibeli dengan harga RM6,000 adalah kereta klon.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan dalam Ops Bersepadu yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar menghala ke Kuala Lumpur, malam tadi.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ismail Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu dipercayai palsu kerana tidak selari dengan nombor casis.

"Menurut lelaki itu, kenderaan itu dibeli daripada rakan dengan harga RM6,000.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati lesen memandu yang digunakan lelaki itu adalah palsu," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Ismail berkata, kenderaan lelaki berkenaan disita JPJ manakala lelaki berkenaan ditahan anggota polis trafik untuk siasatan lanjut.

"Dalam operasi yang bermula 8.30 malam itu, 121 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu, 61 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan sebanyak 90 saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Operasi berkenaan turut membabitkan enam agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Polis Tentera dan Puspakom.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 8:42 AM