JPJ Negeri Sembilan menjalankan Operasi Khas Motosikal sempene cuti sambutan Tahun Baru Cina di di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban- Port Dickson, di sini, semalam. FOTO Ihsan JPJ
JPJ Negeri Sembilan menjalankan Operasi Khas Motosikal sempene cuti sambutan Tahun Baru Cina di di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban- Port Dickson, di sini, semalam. FOTO Ihsan JPJ
Ahmad Hasbi


Port Dickson: Masih berkeliaran di atas jalan raya tanpa lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Itu antara kesalahan 'popular' yang dikesan paling banyak dilakukan pengguna jalan raya sepanjang Operasi Khas Motosikal di Kilometer 28, Lebuhraya Seremban - Port Dickson, di sini, semalam.

Operasi yang diadakan bermula jam 3 petang sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina itu menyaksikan sebanyak 222 saman dikeluarkan dan hampir separuh daripadanya membabitkan kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi JPJ berkenaan memberi fokus kepada kesalahan lesen memandu, cukai jalan dan insurans, pemakaian topi keledar serta kesalahan teknikal.

"Dalam operasi selama tiga jam ini, pihak kami melakukan pemeriksaan terhadap 666 kenderaan membabitkan 323 motosikal, 256 kereta, 35 kenderaan barangan, 15 kenderaan perkhidmatan awam dan 37 lain-lain kenderaan.

"Hasilnya, pihak kami mengeluarkan sebanyak 222 saman dengan 119 daripadanya membabitkan motosikal. Sebanyak 60 saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada lesen memandu atau lesen memandu tidak mengikut kelas kenderaan, manakala sebanyak 40 saman kerana kesalahan tiada cukai jalan," katanya.

Beliau berkata, JPJ juga mengeluarkan 46 notis terhadap kesalahan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos, cermin gelap dan tayar haus.

Tambah Hanif Yusabra, turut serta dalam operasi adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengeluarkan empat kompaun, manakala Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan 19 notis.

Beliau berkata, operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi menimbulkan persepsi bimbang ditahan 'perception of being caught' (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya.

"Meskipun sudah banyak program advokasi dan operasi yang dijalankan JPJ namun masih ramai pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan mengenai lesen memandu kompeten (CDL), cukai jalan dan insurans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 3:50 PM