ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal pengguna dalam operasi khas di Lebuhraya Duke. FOTO Ihsan JPJ
ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal pengguna dalam operasi khas di Lebuhraya Duke. FOTO Ihsan JPJ
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 56 kenderaan kerana gagal mematuhi piawaian teknikal dalam operasi khas di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) di sini, semalam.

Bahagian Penguatkuasa JPJ dalam hantaran di Facebook rasmi jabatan itu berkata, semua kenderaan terbabit disita kerana gagal mematuhi piawaian teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai motosikal secara ekstrem.

"Selain itu, sebanyak 691 saman dan 155 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.

"Operasi khas ini dilaksanakan selama tujuh jam bermula jam 10.00 malam menerusi strategi sekatan jalan raya (SJR) di kedua-dua arah Lebuhraya Duke dengan membabitkan 75 anggota bagi memantau di kedua-dua arah lebuhraya Duke," katanya.

Menurut jabatan itu, Unit Peronda Bermotosikal (UPB) turut di tempatkan lokasi lorong tikus dan menahan mana-mana kenderaan yang cuba membuat pusingan lari daripada tindakan penguatkuasaan.

"Operasi ini dijalankan dengan kerjasama JPJ Selangor, Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) susulan aduan awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan kenderaan yang menyalahi undang-undang boleh menyalurkan di mana-mana pejabat JPJ atau menghubungi JPJ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:59 PM