FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Ibrahim Isa


BAYI perempuan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan Difteria atau akut pernafasan, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr NoorHisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kejadian membabitkan seorang bayi perempuan berusia 14 bulan.

“Pesakit tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarga enggan menerima imunisasi.

“Bayi itu mula demam dan sakit tekak pada 4 Oktober lalu dan dibawa ibunya untuk mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober. Keesokan harinya, kanak-kanak berkenaan dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan.

“Pesakit kemudian dimasukkan ke wad kanak-kanak dan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober lalu kerana keadaan semakin lemah hingga memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, mangsa meninggal dunia Isnin lalu akibat ‘Severe Diphtheria with multiorgan failure’.

Katanya, ujian pengesanan dijalankan ke atas sampel calitan tekak pesakit menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan ujian pengesahan makmal.

Penyakit difteria, katanya, adalah jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheriae menyebabkan sakit tekak dengan selaput di dalam tekak atau kerongkong dengan kemungkinan berlaku komplikasi bakteremia dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga boleh membawa maut.

“Tindakan yang dijalankan bagi membendung penularan jangkitan adalah mencari kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.

“Sehingga hari ini tiada kes baru dilaporkan kepada kementerian.

“Kami ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, measles, mumps dan lain-lain. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta,” katanya.

Menurutnya, kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak kepada jangkitan kuman, malah boleh membahayakan komuniti.

Katanya, ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak masing-masing diminta tampil mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Bagi kanak–kanak yang tercicir suntikan, katanya, mereka masih boleh mendapatkan perkhidmatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 9:36 PM