BAYI dan kanak-kanak perlu diberikan vaksin sehingga usia mencapai tujuh tahun.
BAYI dan kanak-kanak perlu diberikan vaksin sehingga usia mencapai tujuh tahun.
Siti Zarinah Sahib

Dalam tahun ini saja dua kes kematian kanak-kanak akibat difteria dilaporkan. Pada Mac lalu, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia akibat difteria di Hospital Miri, Sarawak disebabkan tidak mendapat sebarang suntikan imunisasi penyakit itu. Kanak-kanak itu mula mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas, tujuh hari sebelum meninggal dunia.

Kes terbaru yang berlaku Isnin lalu juga membabitkan kematian bayi perempuan berusia 14 bulan yang tidak mendapat sebarang suntikan difteria disebabkan keengganan keluarganya menerima imunisasi itu.

Bayi itu mula demam dan sakit tekak pada 4 Oktober lalu dan dibawa ibunya untuk mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober. Keesokan harinya, bayi berkenaan dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan.

Pesakit kemudian dimasukkan ke wad kanak-kanak dan di tempatkan di unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober kerana keadaannya semakin lemah hingga memerlukan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia Isnin lalu akibat difteria teruk dengan kegagalan pelbagai organ.

Kedua-dua kes yang berlaku ini sebenarnya amat menyedihkan kerana ia boleh dielakkan. Ini kerana umum mengetahui kepentingan vaksin yang perlu diberikan kepada bayi sejak lahir. Malah jadual pengambilan vaksin juga diatur dengan teliti mengikut tahap umur kanak-kanak. Semua vaksin yang wajib diambil mengikut Kementerian Kesihatan diberikan sehingga anak mencecah usia tujuh tahun, semuanya dirancang demi memastikan keselamatan dan kesihatan generasi muda kita.

Memberi perlindungan dari segi kesihatan adalah antara hak anak yang wajib ditunaikan, apatah lagi di negara kita ia diberikan secara percuma. Ini menjadi kewajipan dan tanggungjawab itu bapa untuk memastikan bayi mereka tidak dijangkiti sebarang penyakit sebelum si kecil mula membentuk daya ketahanan badan sendiri yang lebih kuat.

Merujuk kepada laman sesawang Kementerian Kesihatan, difteria penyakit disebabkan jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan. Wabak ini mula menular di Russia, Ukraine, Mongolia dan Ekuador pada 1990-an dan jarang berlaku di negara perindustrian kerana pemberian vaksin DPT (difteria, pertusis dan tetanus) sememangnya sudah dilaksanakan.

Namun ia meningkat ketika musim sejuk di kawasan beriklim sederhana membabitkan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun yang belum mendapat imunisasi.

Difteria berpunca daripada virus Corynebacterium diphtheriae, yang akan mengeluarkan toksin difteria. Ini menyebabkan terbentuknya selaput lembut berwarna kelabu di sekitar tekak dan kadangkala selaput mukus lain pada kulit, konjunktiva (di mata) dan kemaluan.

PASTIKAN anak anda dibawa ke klinik apabila demam.
PASTIKAN anak anda dibawa ke klinik apabila demam.

Kanak-kanak yang dijangkiti akan mengalami kesukaran menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut dan farinks dan bengkak pada kelenjar leher.

Jangkitan difteria tersebar dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair dan sentuhan fizikal seperti air liur dan ketika bersin.

Bagi penghidapnya, mereka boleh mendapat jangkitan yang teruk sehingga mengancam nyawa. Komplikasi boleh berlaku sepanjang hayat terutama individu yang tidak mendapat imunisasi secukupnya. Malah risiko meningkat di kawasan sesak dan mempunyai tahap sosio ekonomi yang rendah.

Rawatan dan pencegahan

Bagi penyakit difteria kanak-kanak, ia hanya dapat dikenal pasti pada peringkat awal dengan mengambil sampel kuman daripada pesakit dan diuji di makmal. Namun, doktor akan hanya memulakan rawatan awal pada pesakit yang disyaki kerana penyakit difteria boleh menjadi teruk dalam masa yang singkat.

Jika rawatan awal tidak diberikan, pesakit mungkin akan mengalami komplikasi seperti kelumpuhan saraf kranial, motor periferi dan deria serta miokarditis. Selain itu pesakit juga berisiko mengalami kelumpuhan saraf otak, kaki dan tangan (motor periferi) serta deria dan radang pada jantung (miokarditis).

Melihat kepada besarnya ancaman ke atas kesihatan si kecil, ibu bapa perlu lebih prihatin dengan sebarang perubahan yang berlaku pada anak. Ia termasuk memastikan sekiranya anak mereka mempunyai gejala seperti demam, sakit tekak, lapisan selaput nanah berwarna kelabu kehijauan pada saluran kerongkong, sakit ketika menelan atau bengkak bahagian leher dan masalah pernafasan supaya segera membawa anak ke hospital.

Bagi kanak-kanak yang disahkan menghidap difteria, doktor akan memberikan antitoksin serta-merta selepas spesimen bakteria diambil tanpa menunggu keputusan tetapi tidak semua pusat perubatan mempunyai antitoksin. Eritromisin dan penisilin pula hanya akan diberi selepas kultur diperoleh yang berfungsi untuk mengawal bakteria.

LAPISAN selaput nanah berwarna kelabu kehijauan pada saluran kerongkong petanda difteria yang teruk.
LAPISAN selaput nanah berwarna kelabu kehijauan pada saluran kerongkong petanda difteria yang teruk.

Pesakit akan memerlukan pemantauan dan dikuarantinkan untuk mengelak jangkitan daripada tersebar. Tapi malangnya antitoksin ini tidak akan memusnahkan semua toksin yang sudah ada di dalam badan, sekali gus menyebabkan penyakit ini boleh berulang.

Oleh itu langkah pencegahan yang paling berkesan adalah mendapatkan vaksin difteria yang diberi serentak dengan imunisasi penyakit polio dan tetanus untuk bayi pada berusia dua, tiga dan lima bulan (semuanya tiga dos) dan dos booster pada usia 18 bulan dan tujuh tahun.

Jangan bimbang sekiranya anak anda masih belum mendapat vaksin ini kerana ia boleh diberikan pada bila-bila masa saja sama ada ketika remaja atau dewasa. Namun ambillah langkah segera untuk melindunginya.

Paling penting berbincang dengan doktor bagi mengetahui lebih lanjut bagaimana anak anda boleh diberikan vaksin untuk mencegah difteria.

Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan mereka kepada jangkitan kuman, malah boleh membahayakan komuniti.

Ibu bapa yang belum memberikan imunisasi kepada anak masing-masing diminta tampil mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan Kementerian Kesihatan. Bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan masih boleh mendapatkan perkhidmatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Tidak rugi mengambil langkah berjaga-jaga demi kebaikan anak kita sendiri. Sayangi anak kita dengan memberi si kecil perlindungan kesihatan yang memang menjadi haknya!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:52 PM