ABDUL Jalil  (empat kanan) dan Ahmad Zaini bersama pelajar kategori PT3 pada Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian 2017 di Balai Berita Bangsar.
ABDUL Jalil (empat kanan) dan Ahmad Zaini bersama pelajar kategori PT3 pada Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian 2017 di Balai Berita Bangsar.
Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 21 pelajar cemerlang dari seluruh negara dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian (APCBH) 2017 yang berlangsung di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Bangsar, semalam.

Penganjuran APCBH yang memasuki tahun ke-10 ini menerima lebih 100 penyertaan dari seluruh negara.

Tahun ini juga menyaksikan tujuh penerima bagi setiap kategori yang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, selaras anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, NSTP menghasilkan pelbagai produk dan program berkaitan bidang pendidikan untuk terus maju ke hadapan.

“Ia bermula pada 1984 menerusi kolum khusus untuk pendidikan dan pada 1985, BH memeterai Memorandum Persefahaman dengan Kementerian Pendidikan bagi memperkenalkan konsep akhbar dalam darjah (ADD).

“BH terus unggul menguasai produk pendidikan melalui sisipan Didik, Minda dan Skor selain School Times yang diterbitkan dalam New Straits Times (NST) serta portal pembelajaran interaktif, FullAMark,” katanya pada Majlis Penyampaian APCBH 2017, semalam.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif Kanan Integrasi NSTP, Saidon Idris; Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus Besar Pendidikan Vertikal NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 9:51 AM