NOR Farah Ain (kiri) menunjukkan hasil tanaman rock melon yang diusahakannya di Lenggong, hari ini. FOTO D J Dolasoh.
NOR Farah Ain (kiri) menunjukkan hasil tanaman rock melon yang diusahakannya di Lenggong, hari ini. FOTO D J Dolasoh.
D J Dolasoh


KEADAAN iklim dan struktur tanah di Lenggong, Perak sesuai dijadikan kawasan penternakan khususnya rusa dan pelbagai tanaman kontan sejajar keperluan Dasar Agromakanan Negara (DAN).

Lenggong kini dalam usaha menjadi hab ladang ternakan rusa terbesar negara apabila kira-kira 200 hektar tanah dengan beberapa lokasi dijadikan ladang ternakan makanan eksotik itu, selain beratus hektar lagi dijadikan kawasan tanaman diusahakan penduduk dan peladang muda termasuk dengan penanaman nanas dan rock melon.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Muhammad Ismail, berkata faktor iklim dan kesesuaian tanah di Lenggong sangat sesuai untuk pelbagai tanaman dan penternakan khususnya rusa.

“Saya yakin projek ternakan rusa diusahakan di Lenggong ini boleh mengatasi projek di tempat lain kerana bentuk muka buminya sesuai, selain faktor iklim yang merangsang pembiakan haiwan eksotik ini.

“Langkah peladang muda Lenggong mengusahakan beratus hektar tanaman seperti rock melon, nanas dan timun akan menyumbang kepada Dasar Agromakanan Negara dan patut dijadikan contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat projek penternakan rusa dan tanaman rock melon di Kampung Selat Pagar, Lenggong, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Hamzah Bahari; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Ahmad Safri Hassan dan Pengurus Besar Akasia Biz Resources, Norkiah Peei.

Muhammad berkata, pihak kementerian teruja apabila mendapati lebih 50 peladang muda di Lenggong kini giat mengusahakan pelbagai tanaman dan penternakan sama ada di bawah seliaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), JPV, syarikat dan secara individu.

Beliau berkata, usaha 10 peladang muda mengusahakan ternakan rusa di padang ragut Sungai Soh (A) Kampung Bukit Sapi dengan keluasan 60 hektar membabitkan 380 ekor rusa dan ladang buah rock melon, nanas dan timun lebih 10 hektar di beberapa kawasan di Lenggong menjadi contoh kepada belia.

“Bagaimanapun, peladang muda harus merujuk kepada pihak bertanggungjawab seperti agensi pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat di samping mengikuti pelbagai kursus berkenaan bidang ini bagi memastikan usaha mereka lebih berjaya,” katanya.

Sementara itu, peladang muda di bawah syarikat Akasia Biz Resources, Nor Farah Ain Barom, 25, berkata beliau mengusahakan projek penanaman rock melon serta nanas bersama rakannya Muhamad Wafi Muhamad Nonudin, 32.

Menurutnya, mereka memulakan projek pertama itu pada April lalu dan sudah memungut hasil manakala nanas dijangka mengeluarkan hasil pada April tahun depan.

“Kami berhasrat membesarkan lagi projek ini dan kini dalam proses memohon tanah seluas 100 hektar daripada kerajaan negeri, justeru berharap ia dapat diluluskan segera.

“Meskipun memiliki ijazah, kami tidak mahu mensia-siakan peluang di bidang pertanian yang memberi pulangan lumayan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 10:14 PM