Ghazali sedang memberi makan rusa timorensis yang diternaknya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ghazali sedang memberi makan rusa timorensis yang diternaknya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli

Hulu Terengganu: Kebiasaannya penternak lebih berminat menternak lembu atau kambing, namun berbeza dengan lelaki ini apabila meraih pendapatan lumayan hasil menjalankan penternakan rusa timorensis sejak lima tahun lalu.

Ghazali Mat, 67, dari Kampung Pauh, Kuala Berang, di sini, berkata dia mengeluarkan modal sebanyak RM20,000 pada 2018 untuk membeli 10 ekor rusa timorensis dari Lenggong, Perak.

"Dalam tempoh lima tahun, saya memperolehi RM40,000 hasil daripada menjual 15 ekor rusa dan sudah mendapat modal yang dikeluarkan dahulu.

"Sekarang saya memiliki sebanyak 50 ekor rusa hasil pembiakan yang dijalankan dan ia ialah keuntungan. Seronok ternak rusa kerana ternakan itu cepat membiak berbanding ternakan lain termasuk kambing dan lembu.

"Selagi banyak induk betina, semakin banyak purata jumlah ternakan bertambah pada setiap tahun," katanya ketika ditemui di kandang rusa miliknya, hari ini.

Ghazali berkata, kos makanan ternakan pada setiap bulan juga tidak besar berbanding ternakan lain.

"Selain memberi makanan palet, saya juga memberi rumput dan sisa buah-buahan rosak yang dibeli secara borong.

"Rusa-rusa berkenaan dijual pada harga RM3,000 hingga RM7,000 seekor dan ia memang berbaloi," katanya yang turut menjual daging rusa segar.

Katanya, dia sentiasa memberi galakan kepada orang ramai terutama generasi muda supaya menceburi bidang penternakan rusa.

"Rusa lebih lasak berbanding kambing dan permintaan terhadap daging rusa semakin meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 1:21 PM