MUHAMMAD Sidek (kanan) bersama rakan kongsi menghasilkan produk sos rock melon pertama di dunia.
MUHAMMAD Sidek (kanan) bersama rakan kongsi menghasilkan produk sos rock melon pertama di dunia.
PRODUK rock melon diinovasikan.
PRODUK rock melon diinovasikan.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Kotak fikiran biasa membayangkan buah rock melon hanya sesuai dimakan segar.

Rasa rangup dengan aroma yang manis menjadikan buah dikenali sebagai Cantaloupe ini antara terbaik dalam kelompok buah-buahan.

Dari sudut fizikal luarannya, rock melon mempunyai jaringan timbul dan kulit yang keras.

Rock melon kaya dengan vitamin C, vitamin A, beta karotin, kandungan potassium dan serat yang tinggi.

Namun, sehingga kini belum ada pihak yang menginovasikan buah berkenaan untuk dijadikan produk hiliran.

Menyedari kepentingan itu, empat sekawan dari Syarikat KMS Agronomi Sdn Bhd membangunkan sos rock melon dalam tiga perisa yang pertama didunia.

Bukan saja menghasilkan buah segar untuk pasaran eksport di Singapura, tetapi ia juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk sos berkualiti.

Malah, syarikat itu diiktiraf MARDI sebagai pengeluar buah terbaik dalam kelasnya mengusahakan projek tanaman fertigasi rock melon menggunakan struktur pelindung hujan (SPH) dan kalis serangga.

Siapa sangka penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan bersama rakan kongsi memberi impak besar dalam penghasilan produk.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) antara penggerak yang membantu dalam aspek penyelidikan.

Pengarah Urusannya, Muhammad Sidek Osman berkata, idea menghasilkan sos rock melon dicetuskan salah seorang rakan kongsinya.

“Ketika duduk semeja, Nurul Faezah Jasni yang menjaga unit Industri Asas Tani (IAT) mengeluarkan idea menghasilkan produk makanan.

“Sejak itu, kami membangunkan produk sendiri dan menjalinkan kerjasama dengan MARDI,” katanya yang turut berkongsi bisnes itu dengan Saiful Asyraf Md Hisan.

Menurutnya, jika dulu syarikat hanya memfokuskan pengeluaran buah rock melon segar, kini ia menghasilkan produk hiliran.

“Dulu, saya bersama rakan kongsi mengeluarkan modal untuk menyediakan tiga buah rumah hijau dan kemudahan berkaitan teknologi fertigasi.

“Projek berkenaan diusahakan di tanah berkeluasan 0.6 hektar yang berlokasi di Kampung Jenjarom, Selangor,” katanya.

Menerusi penyelidikan MARDI katanya, tiga sos berjenama Faezah dihasilkan seperti cinta yang menggabungkan rasa masam, pedas dan manis, rindu (pedas dan manis) dan sayang (lemak manis).

“Idea mencipta sos rock melon agak singkat bermula pada Oktober tahun lalu.

“Ia kemudian dilontarkan kepada pihak MARDI sebelum bersetuju untuk melakukan kajian,” katanya.

Produk yang mendapat formulasi bersama kemudian dibawa ke MARDI untuk mendapatkan ketahanan, bau, rasa, warna, rupa dan jangka hayat produk.

“Formula sudah ada dan mereka (MARDI) buat kajian.

“Cuma mereka nak dapatkan keserasian, apatah lagi setiap bahan digunapakai tidak sama,” katanya.

Berbanding pisang dan nanas, rock melon mengambil tempoh sebulan untuk melihat perbezaan dari aspek rasa serta warna.

“Saya nampak kesan ujian memang ada perbezaannya dan tidak mudah.

“Penyelidik MARDI buat banyak siri ujian dan kadang kala berubah dari segi warna, bau dan rasa,” katanya.

Bukan saja mendapat bimbingan MARDI, syarikat itu juga dibenarkan untuk mengguna pakai teknologi di pusat penyelidikan berkenaan yang beroperasi di Johor.

Dengan kemudahan yang ada syarikat juga mampu mengeluarkan kira-kira 12,000 botol sos dalam sebulan.

Muhammad Sidek berkata, perbezaan yang ada membolehkan produk inovasi berkenaan menguasai pasaran.

“Kita tahu setakat ini ada sos dari betik dan nanas, tetapi kelebihan buah ini sangat baik dan unsur dalamnya kaya dengan potassium, selain vitamin yang baik untuk kulit dan tulang.

“Paling menarik, fakta nutrisi dikeluarkan agensi berSkaitan membuktikan produk ini sangat baik kerana bukan saja mempunyai rasa cili, tetapi turut mengandungi buah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 1:21 PM