FAIZA menjawab soalan wartawan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, semalam.
FAIZA menjawab soalan wartawan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, semalam.
Nurhayati Abllah dan Farhana Syed Nokman

)

Kuala Lumpur: Syarikat Faiza Sdn Bhd (SFSB) meminta kerajaan memansuhkan permit pemindahan beras kerana ia melambatkan proses pengagihan, sekali gus memungkinkan pengeluar berdepan penalti lebih tinggi.

Pada masa sama, pengeluar beras terkemuka negara jenama Faiza itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula kesesuaian kadar rebat jualan di pasar raya yang dianggap terlalu tinggi sehingga membebankan syarikat Bumiputera.

Pengasas dan Pengarah Urusannya Datuk Faiza Bawumi Sayed Ahmad berkata, pada masa ini, pemindahan keluar beras dari setiap daerah dikenakan permit yang memerlukan kelulusan kira-kira tiga hari bekerja.

“Contohnya penghantaran beras dari Johor ke Melaka memerlukan permit. Kelulusan untuk mendapatkan permit itu pula di Kluang, Johor.

“Ia mengambil masa untuk mendapatkan kelulusan segera dan mungkin berdepan dengan masalah cuti hujung minggu pada Ahad dan Jumaat yang berlainan setiap negeri.

“Ia melambatkan proses penghantaran beras sehingga menjejaskan syarat penghantaran, kami terpaksa berdepan penalti terlalu tinggi oleh syarikat terbabit (pasar raya),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di sini, semalam.

Faiza berkata, peraturan permit itu diwujudkan sebelum ini disebabkan ancaman komunis pada masa dulu.

“Sekarang ini komunis sudah tiada. Jadi kesesuaian permit itu wajar dilihat semula,” katanya.

Kerajaan juga, katanya, perlu mempertimbangkan pengurangan kadar rebat jualan di pasar raya yang pada masa ini dikenakan purata 15 peratus.

“Kadar sekarang terlampau tinggi, sama seperti yang dikenakan terhadap syarikat antarabangsa.

“Kami berharap kadar itu dapat dikurangkan sebagai usaha membantu syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau juga mengharapkan kerajaan menyediakan kemudahan kewangan atau pinjaman bagi membantu pengembangan syarikat Bumiputera di negara ini.

“Apa yang dilihat, penyediaan bantuan lebih memfokuskan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sedangkan kami sebagai peserta industri turut mengharapkan bantuan sama termasuk kewangan, produk dan peralatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:53 AM