Mohd Khairi menyediakan sebanyak 120 lembu korban. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Khairi menyediakan sebanyak 120 lembu korban. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Maran: Kegiatan mencuri lembu yang banyak berlaku di daerah ini memaksa seorang penternak di Kampung Bukit Lada dekat sini, berjaga malam bagi memastikan lembu korban yang ditempah pembeli tidak lesap dilarikan pencuri.

Mohd Khairi Hafizin Mazlan, 28, berkata, hampir setiap malam dia dan bapa, Mazlan Esop, 57, membuat rondaan secara berjadual dalam kawasan ladang kelapa sawit milik keluarga yang menempatkan kandang lembu.

Katanya, bagi menjamin kegiatan mencuri lembu tidak berlaku, rumah pekerja turut disediakan berhampiran kandang yang mampu menempatkan lebih 200 lembu dalam satu masa.

"Sebelum ini pernah berlaku cubaan mencuri lembu korban, tindakan pantas saya mengekori individu terbabit menyebabkan mereka ketakutan dan lari meninggalkan kawasan ladang kelapa sawit dalam kegelapan malam.

"Permintaan tinggi terhadap lembu korban menjadi faktor utama kegiatan mencuri haiwan terbabit berlaku setiap kali menjelang Aidiladha," katanya, di sini semalam.

Dia yang berpengalaman lebih lima tahun menyediakan lembu korban berkata, tahun ini dia menyediakan sebanyak 120 lembu korban baka Kedah-Kelantan (KK), sebanyak 80 sudah diagihkan kepada pembeli di negeri ini, Selangor dan Melaka.

Mohd Khairi Hafizin berkata, harga lembu dijual antara RM2,900 hingga RM4,200 seekor mengikut saiz dengan berat antara 200 hingga 350 kilogram (kg).

Turut disediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan lori milik keluarga.

Dia berkata, harga jualan lembu akan meningkat antara RM4,500 hingga RM5,300 seekor sekiranya pembeli membeli dua hari sebelum Aidiladha.

"Saya mendapat bekalan lembu baka KK daripada penternak di Jerantut dan Felda Jengka, Maran. Haiwan berkenaan diternak dalam ladang kelapa sawit beberapa bulan sebelum dijual untuk ibadah korban.

"Setiap tahun permintaan terhadap lembu korban bertambah, harga berpatutan selain saiz lembu yang besar menjadi faktor utama ramai pembeli memilih untuk membeli haiwan yang disediakan," katanya. Dia berkata, sebelum ini pernah berlaku kejadian, pencuri menyumpit ubat pelali terhadap lembu baka Brahman miliknya, namun haiwan itu lari ke hutan sebelum pengsan menyebabkan penjenayah gagal memindahkan lembu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 2:53 PM