FAIZA Bawumi menunjukkan antara beras keluarannya.
FAIZA Bawumi menunjukkan antara beras keluarannya.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Bersedekah adalah satu amalan mulia dan dituntut dalam Islam kerana ia bukan sahaja mampu memberikan kenikmatan kepada penerima malah membolehkan pemberi memperoleh lebih banyak pahala demi kehidupan di dunia dan akhirat.

Ramadan adalah masa atau bulan terbaik bagi umat Islam untuk melakukan amalan mulia dan sudah pasti pemberian bahan makanan utama seperti beras adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi golongan yang kurang bernasib baik.

Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad berkata, orang ramai yang ingin menderma beras kepada golongan memerlukan bersempena bulan mulia ini turut boleh melakukannya melalui pembelian beras jenama Faiza.

Menurutnya, orang ramai yang membeli beras Faiza berpeluang menyumbang derma kepada Tabung Bersamamu dengan kerjasama TV3 di mana sebahagian jumlah akan disalurkan kepada mereka bagi setiap pembelian beras terbabit.

“Apa paling penting, mereka bukan sahaja boleh menderma dan membuat pahala malah dapat menikmati beras berkualiti yang ditawarkan oleh produk beras Faiza,” katanya.

Beliau berkata, beras Faiza mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengguna di negara ini semasa Ramadan berbanding waktu biasa dengan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus.

Secara lazimnya, beras Faiza seperti beras kesihatan Taj Mahal menjadi tumpuan pengguna bagi membantu penjagaan kesihatan semasa bulan Ramadan ini kerana ia adalah beras organik dan kurang kanji namun memiliki serat yang tinggi.

“Selain Taj Mahal, beras Moghul dan Kohinoor mendapat sambutan pengguna untuk dijadikan sebagai bahan utama bagi hidangan berbuka puasa seperti nasi beriani, nasi ayam dan nasi putih biasa,” katanya.

Faiza berkata, beras Faiza tempatan seperti Faiza Emas pula mendapat sambutan pengguna di mana ia digunakan untuk tujuan derma dalam kalangan individu serta korporat atau fidyah di bulan Ramadan ini.

“Syarikat Faiza sendiri turut mendermakan beras ini kepada pihak ditetapkan pada Ramadan kali ini dan kepada mereka yang memohon kepada kami di mana pemohonan itu dilakukan sebelum Ramadan lagi namun permohonan itu bergantung kepada bajet yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai berpeluang menyertai Peraduan 48 Tahun Setia Bersama Faiza yang kini memasuki bulan keempat penganjuran bagi menikmati hadiah utama berupa sebuah Honda City 1.5 L, hadiah pertama (Perodua Myvi 1.3), hadiah ketiga (Yamaha 135LC untuk tiga pemenang) dan hadiah bulanan berupa pakej percutian ke Beijing/ Umrah.

“Apa paling penting, mereka perlu membeli beras jenama Faiza untuk menyertai peraduan ini selari dengan moto kami iaitu Pastikan Faiza, Baru Beli bagi memastikan hanya beras daripada Syarikat Faiza sahaja yang dibeli dan bukan daripada syarikat ‘tiruan’ lain,” katanya.

Peraduan ini berlangsung dari 1 Mac lalu sehingga 31 Ogos ini dengan borang penyertaan boleh didapati apabila melakukan pembelian di mana-mana kedai atau memuat turun borang di http://www.faizarice.com, www.facebook.com/berasfaiza dan www.facebook.com/berastajmahal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 7:15 AM