PEKERJA di kilang Syarikat Faiza membungkus beras keluaran beras Faiza di Kilang Syarikat Faiza. FOTO Rosela Ismail
PEKERJA di kilang Syarikat Faiza membungkus beras keluaran beras Faiza di Kilang Syarikat Faiza. FOTO Rosela Ismail
Ahmad Johari Mohd Ali


SYARIKAT pengeluar, pengedar dan peruncit beras, Faiz Rice Sdn Bhd yang didapati bertanggungjawab melanggar hak cipta enam jenama beras milik syarikat Faiza Sdn Bhd, diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah lebih RM4.2 juta.

Penghakiman bagi taksiran ganti rugi itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wong Kian Kheng dalam kes saman berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta dan cap dagangan serta campur tangan tidak sah dalam perniagaan antara Datuk Faiza Bawumi Sayed Ahmad dan anak lelakinya Fikri Abu Bakar.

Faiza Bawumi adalah Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd manakala Fikri adalah Pengarah Urusan syarikat Faiz Rice.

Pada 24 Oktober 2017, Hakim Wong mendapati Faiz Rice dan Fikri bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak cipta dan cap dagangan, bertanggungjawab melakukan tort kelirupaan nama (passing off) dan campur tangan secara tidak sah terhadap dalam perniagaan plaintif.

Dalam prosiding hari ini, beliau memerintahkan Faiz Rice dan Fikri selaku defendan membayar RM3.9 juta bagi ganti rugi jumlah pampasan, ganti rugi bagi kehilangan nama baik sebanyak RM100,000, ganti rugi statutori bagi hak cipta sebanyak RM60,00O dan ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM100,000.

Dalam penghakimannya, Wong berkata, terdapat pelanggaran hak cipta komersial dilakukan secara terang terangan oleh Faiz Rice dan Fikri, yang jelas menunjukkan nama baik syarikat Faiza terjejas disebabkan pelanggaran itu.

Hakim itu berkata, keterangan saksi turut menunjukkan, sejak kemasukan Faiz Rice dalam pasaran, syarikat Faiza mengalami kerugian ketara dalam masa yang singkat.

“Oleh itu, mahkamah menetapkan ganti rugi pampasan sebanyak RM3.9 juta,” katanya.

Subjek di dalam kes saman itu adalah berhubung enam hak cipta jenama beras milik Faiza iaitu TAJ MAHAL, MOGHUL FAIZA BASMATHI, FAIZA (didaftarkan atas nama plaintif Faiza TM), FAIZA RICE FOR LIFE, FAIZA EMAS dan logo FAIZA (didaftarkan atas nama plaintif Faiza Logo TM).

Plaintif mendakwa antaranya, defendan melanggar hak cipta dan cap dagangan pembungkusan beras, melakukan tort kelirupaan nama terhadap barangan dan perniagaannya serta campur tangan tidak sah dalam perniagaan mereka.

Kedua-dua plaintif juga mendakwa, defendan melanggar hak cipta logo Faiza TM dan secara tidak sah mencampuri urusan dagangannya dengan melanggar hak cipta logo terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 8:52 PM