FAIZA  menyaksikan cabutan untuk pemenang hadiah bulanan  di Batu Pahat.
FAIZA menyaksikan cabutan untuk pemenang hadiah bulanan di Batu Pahat.
Sofyan Rizal Ishak dan Mohd Hanafis Abdul Haris

Subang Jaya: Syarikat Faiza Sdn Bhd (SFSB), pengeluar beras jenama Faiza menjangkakan mampu mencatatkan pertumbuhan jualan 20 peratus pada tahun ini berbanding purata pertumbuhan tahunan iaitu kira-kira 14 peratus.

Pengarah Urusannya, Faiza Bawumi Sayed Ahmad berkata, angka terbabit bakal dicapai melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti promosi secara agresif sepanjang tahun ini dan peningkatan kualiti yang akan dijalankan daripada semasa ke semasa.

“Persaingan dalam industri beras dilihat semakin sengit pada masa ini kerana terdapat pelbagai produk beras di pasaran, namun kami optimis kerana kelebihan dan tarikan jenama Faiza dalam kalangan pengguna tempatan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Setakat kini, syarikat itu sudah memasarkan 22 jenama beras dan 24 produk bukan beras seperti rempah ratus, tepung gandum, bihun, bihun segera, kicap, madu, garam, gula dan ketupat.

Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan mempertingkatkan aktiviti promosi tahun ini memandangkan syarikat mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan pada tahun lalu akibat beberapa faktor terutama peniruan produk daripada syarikat lain.

“Kami berhadapan cabaran apabila terdapat pihak cuba meniru produk beras Faiza sehingga menimbulkan kekeliruan di pasaran. Oleh itu, kami ingin menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati seperti mana motto kami iaitu Pastikan Faiza, Baru Beli,” katanya.

Faiza berkata, syarikat baru sahaja membuka gudang kedua di Ipoh pada awal bulan lalu selain empat gudang yang terletak di Batu Pahat, Kuala Terengganu, Subang Jaya dan Sungai Petani.

Sementara itu, Syarikat Faiza menganjurkan Peraduan 48 Tahun Setia Bersama Faiza bertujuan menghargai kesetiaan pengguna terhadap produk Faiza di mana ia menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi sepanjang tempoh peraduan iaitu selama enam bulan.

Beliau berkata, pengguna Faiza berpeluang memenangi hadiah bulanan seperti Pakej Percutian ke Umrah/Beijing untuk empat pemenang dan hamper produk Faiza (80 pemenang) selain berpeluang memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta Honda City 1.5 Liter.

Selain itu, peraduan ini turut menawarkan hadiah pertama berupa Perodua Myvi 1.3, hadiah kedua (Perodua Axia 1.0), hadiah ketiga (Yamaha 135LC untuk tiga pemenang), hadiah istimewa (pakej percutian untuk 48 pemenang) dan hadiah saguhati (hamper produk Faiza untuk 480 pemenang).

“Orang ramai boleh menyertai peraduan ini dengan hanya membeli beras jenama Faiza seperti beras kesihatan Taj Mahal, Basmathi Kohinoor, Basmathi Moghul Parboiled, Basmathi Moghul, Basmathi Maharani dan Basmathi Kashmir dalam peket lima kilogram dan borang penyertaan perlu disertakan dengan dua keratan jenama beras terbabit beserta resit pembelian.

“Bagaimanapun, kami turut menerima jika orang ramai menyertakan keratan jenama terbabit dalam peket satu atau dua kilogram asalkan ia mencecah 10 kilogram,” katanya sambil menambah peraduan itu berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Ogos ini.

Orang ramai boleh menghantar sebanyak mana penyertaan dikehendaki di mana pemenang untuk cabutan bulanan akan diumumkan pada/sebelum 10 haribulan pada bulan berikutnya bermula April hingga September 2016.

Sementara itu, di Batu Pahat, Faiza berkata, biarpun baru sebulan dibuka kepada orang ramai, peraduan itu berjaya menerima hampir 1,000 penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pelanggan hanya perlu menjawab soalan mudah dalam borang peraduan yang boleh didapati di semua pasar raya atau muat turun dari laman web rasmi syarikat,” katanya ketika majlis cabutan nama pemenang di pejabatnya di Kawasan Perindustrian Sri Gading 2, Batu Pahat, di sini.

Pada majlis itu, seramai empat peserta berjaya memenangi pakej umrah iaitu Sapidah Shahed, 41, dari Kluang Johor; Yaakob Sumarjo, 72, dan Hafiza Mohamed, 33, dari Batu Pahat, Johor, serta Mohd Saiful Md Sarid, 38, dari Shah Alam, Selangor.

Setiap pemenang ini akan dihubungi sendiri oleh SFSB untuk proses pemberian hadiah termasuk 80 pemenang hadiah saguhati.

Untuk senarai 80 pemenang hamper produk Faiza, anda boleh merujuk laman web Faiza iaitu http://www.faizarice.com/ atau di facebook www.facebook.com/berasfaiza atau www.facebook.com/berastajmahal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 7:03 AM