Tinjauan stok beras tempatan yang masih belum ada di pasaran dan dipenuhi dengan beras import di kedai runcit dan kedai serbaneka sekitar Chow Kit. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan stok beras tempatan yang masih belum ada di pasaran dan dipenuhi dengan beras import di kedai runcit dan kedai serbaneka sekitar Chow Kit. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Bekalan beras tempatan dilihat masih kurang dan sukar untuk diperoleh peniaga pasar raya dan peruncit di ibu negara ketika ini.

Peniaga runcit, Gaffar Mohamed, 37, berkata, dia hanya memperoleh beras tempatan sejak pertengahan bulan Oktober lalu, namun masih tidak mencukupi.

"Bekalan beras tempatan baru dapat pertengahan Oktober. Tapi bekalan masih tak cukup.

"Jika nak dibandingkan dengan sebelum ini iaitu semasa bulan Ogos dan September, langsung tak pernah dapat," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

Pada 20 September lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menjangkakan bekalan beras putih tempatan di pasaran akan kembali stabil dalam masa sebulan susulan pelbagai langkah intervensi dan pemantauan berterusan dilakukan kerajaan.

Mengulas lanjut, Gaffar berkata, beras yang diperolehi olehnya itu adalah pek 10 kilogram (kg) berjenama Faiza dan Aura.

"Biasanya beras 10 kg ini kita peroleh dalam kuantiti 50 pek dan paling banyak pun boleh diperolehi 100 paket.

"Tetapi beras 10 kg ini dalam masa dua hari sudah habis. Hari ketiga orang datang minta, sudah tidak ada. Nak dapat balik beras tempatan itu kena tunggu seminggu lagi," katanya.

Menurutnya, dalam masa seminggu, dia memerlukan antara 200 hingga 250 pek beras untuk dijual kepada pengguna.

Gaffar berkata, dia menjual beras tempatan 10 kg dengan harga RM26 dan mengehadkan pembeliannya kepada dua pek sahaja bagi seorang pengguna.

"Harga beras tempatan kita dapat dari pembekal RM25.50 tetapi kerajaan benarkan kita jual RM26. Kita dapat untung 50 sen sahaja," katanya.

Peniaga pasar raya, Srinu Chintapalli, 24, pula menyatakan dia masih lagi tidak memperoleh bekalan beras tempatan sehingga kini.

Bagaimanapun, katanya, pihak pembekal sudah memaklumkan padanya bahawa beras tempatan akan diperoleh pada awal Disember depan.

"Saya akan dapat 100 pek beras tempatan 10 kg bulan depan. Tetapi untuk beras tempatan 5 kg, saya tak pasti dapat atau tidak.

"Dari segi harga, beras tempatan ini akan dijual RM26 dan pihak pembekal memberitahu jenama Jati dan Faiza saya akan dapat, " katanya.

Peniaga runcit, Tafa Abdul Latif, 60, menyatakan dia juga masih tidak memperoleh bekalan beras tempatan sehingga kini.

"Saya ada mohon kepada pemborong. Tapi kalau kedai besar tak dapat, yang kedai kecil macam saya lagi susah nak dapat," katanya.

Dia turut mengharapkan agar kerajaan memperbanyakkan stok beras tempatan agar golongan seperti B40 boleh membelinya.

"Macam beras import ini mahal kerana ia dijual pada harga RM42 hingga RM43. Tapi orang terpaksa juga beli.

"Kalau ada beras tempatan dengan harga lagi murah contohnya RM26, lagi amat membantu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 4:07 PM