GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suhaila Shahrul Annuar


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani kini sedang giat mendapatkan maklumat dan pandangan dalam membangunkan model baharu industri padi dan beras yang lebih komprehensif.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dilaksanakan melalui beberapa sesi konsultasi bersama penggiat industri terdiri daripada pesawah, pengilang dan pemborong.

“Langkah itu termasuk mengkaji semula peraturan sedia ada dan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi memastikan peraturan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.

Sebelum ini, Syarikat Faiza Sdn Bhd (SFSB) meminta kerajaan memansuhkan permit pemindahan beras kerana ia melambatkan proses pengagihan, sekali gus memungkinkan pengeluar berdepan penalti lebih tinggi.

Pada masa sama, pengeluar beras terkemuka negara jenama Faiza itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula kesesuaian kadar rebat jualan di pasar raya yang dianggap terlalu tinggi sehingga membebankan syarikat Bumiputera.

Selain itu, berkaitan dengan Permit Pemindahan Beras, kenyataan itu turut menjelaskan, kementerian sedang dalam proses membangunkan sistem permohonan secara atas talian sepertimana permohonan lesen lain yang berkait dengan pengedaran padi dan beras seperti lesen borong beras dan lesen runcit beras.

“Pada masa ini kelulusan segera boleh diperolehi serta merta dari pejabat kawalselia padi dan beras di setiap negeri dan tempoh sah permit adalah selama tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 1:05 PM