AR Badul
AR Badul
Norhayati Nordin


Putrajaya: Pengarah dan pelakon veteran, AR Badul, 75, menyifatkan pembabitannya yang aktif bermain TikTok bukan kerana menagih simpati disebabkan tiada 'job' (kerja), namun sekadar mahu melayan peminat-peminatnya.

Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie berkata, dia juga tak sangka kini mempunyai kira-kira 95,000 pengikut TikTok, sejak mula berjinak-jinak pada tahun lalu selepas muncul berita mendakwa dirinya sudah meninggal dunia.

"Ketika itu, ada seorang rakan artis mengajak bermain TikTok dan saya cuba. Tidak sangka, video yang biasa saja tapi ditonton kira-kira 40,000 orang. Dari situ, saya pun buka akaun TikTok sendiri.

"Kemudian, saya buat video yang tidak menceritakan langsung mengenai berita palsu kematian itu dan dapat lebih 200,000 tontonan. Sejak itu, saya selalu buat video TikTok sehinggalah akhirnya akaun itu disekat," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Badul ditemui pada sidang media Malam Anugerah Apresiasi Hos Rasmi TikTok Live di Dewan Magika Winter, Pusat Konvensyen Antaranabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam semalam.

Muncul di TikTok dengan akaun kedua yang dibuat, namun dia langsung tidak pedulikan 'cakap-cakap negatif' itu kerana tahu apa yang dilakukannya ketika bersiaran langsung di TikTok untuk melayan peminat.

"Saya pernah disindir, artis tua main TikTok sebab dah tak ada 'job' (kerja). Tapi, mereka silap kerana saya di TikTok itu untuk melayan peminat-peminat saya yang kebanyakan mereka berumur 40 tahun dan ke atas.

"Terus-terang, saya tidak cari (pengikut) yang muda-muda ini. Peminat saya adalah mereka yang tengok wayang saya dari kecil, tengok filem saya sampai ke tua dan kalau kerja askar itu, dah pencenlah," katanya.

Ujar Badul, dia juga tidak melupakan untuk berbahagi rezeki dengan golongan memerlukan menerusi 'gift' (hadiah) diterima daripada pengguna media sosial lain sebagai sedekah.

"Kalau ada dapat 'gift', tak semua saya ambil. Contoh, jika dapat 'gift' RM1, saya bahagikan tujuh peratus saya ambil dan tiga peratus lagi disedekahkan kepada mereka memerlukan. Saya pun tidak paksa orang untuk bagi 'gift'.

"Apapun, saya bersyukur pada usia yang dah nak hujung-hujung ini, saya dapat kumpulkan kira-kira 95,0000 pengikut di akaun TikTok. Ia pastinya bukan jumlah yang mudah dikumpul oleh artis veteran seperti saya, tapi dapat dilakukan," katanya.

Badul berkata, menerusi Vibes International Agency yang disertainya secara percuma untuk menjadi 'live host' TikTok, dia banyak dibantu bagaimana menjadi TikToker yang berjaya dengan kandungan video-video tidak kontroversi dan melanggar sensitiviti masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 3:46 PM