WARGA asing yang diperiksa dalam operasi di Seri Kembangan, semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
WARGA asing yang diperiksa dalam operasi di Seri Kembangan, semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak ganas ‘merempuh’ van polis yang menghalang laluannya ketika cuba melarikan diri dalam operasi di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, semalam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengejar lelaki warga Bangladesh berusia 30-an itu sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam operasi bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, seramai 101 warga asing diperiksa di Pasar Borong Selangor dan Pasar Pagi Seri Kembangan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami memeriksa 101 warga asing di dua lokasi berkenaan. Seramai 14 individu ditahan berusia 20 hingga 50-an kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Semua PATI yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Selain anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, operasi itu turut disertai JIM Selangor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membabitkan kekuatan seramai 65 pegawai dan anggota.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan berasingan di sebuah hotel bajet di Seri Kembangan, polis menahan lelaki berusia 50-an selepas didapati positif dadah jenis syabu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 11:54 PM