EMPAT lelaki warga asing ditahan dalam Ops Nyah di Serdang.
EMPAT lelaki warga asing ditahan dalam Ops Nyah di Serdang.
Mohd Azam Shah Yaacob

Serdang: Jika dahulu golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) sinonim dengan warga Indonesia, Bangladesh atau Nepal namun kini rakyat dari pelbagai negara lain turut dikesan tinggal di negara ini secara haram.

Ini terbukti dalam operasi Ops Nyah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelmarin, apabila PATI Libya, Sierra Leone, Kenya dan Nigeria turut diberkas.

Dalam operasi itu, puluhan PATI dikesan tinggal di Serdang Perdana, pangsapuri Suria Kinrara dan pasar borong Seri Kembangan di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, operasi selama enam jam dan bermula jam 10 malam itu membabitkan pemeriksaan terhadap 122 warga asing.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 34 individu yang diperiksa didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk lima daripadanya disyaki terbabit dalam jenayah komersial.

“Semua 34 individu terbabit didapati tidak mempunyai dokumen sah untuk berada di negara ini dan diklasifikasikan sebagai PATI.

“Mereka yang ditahan berusia antara 35 tahun hingga 45 tahun. Mereka bukan sekadar melanggar kesalahan imigresen, malah lima antaranya disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan atau scam,” katanya ketika dihubungi semalam.

ANGGOTA penguat kuasa mengambil rekod warga asing.
ANGGOTA penguat kuasa mengambil rekod warga asing.

Ismadi berkata, semua yang ditahan membabitkan warga Nigeria, Sierra Leone, Mesir, Kenya, Sri Lanka, Libya, Yaman, India, Myanmar dan Indonesia.

Katanya, semua PATI itu dibawa ke IPD Serdang untuk proses saringan dan dokumentasi.

“Kami serius dalam isu kebanjiran warga asing ini khususnya yang tidak mempunyai dokumen sah untuk berada di negara ini bagi memastikan masyarakat dalam keadaan selamat dan tenteram.

“Ini kerana kehadiran mereka khususnya PATI ini dikhuatiri mencetuskan rasa tidak selamat berikutan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi serta jabatan lain bagi mengekang masalah jenayah ditimbulkan PATI berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 1:13 PM