ANGGOTA JIM Selangor memeriksa warga asing dalam serbuan Op Bersepadu di Pasar Borong Selangor, awal pagi tadi. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
ANGGOTA JIM Selangor memeriksa warga asing dalam serbuan Op Bersepadu di Pasar Borong Selangor, awal pagi tadi. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Pasar Borong Selangor di sini, yang menjadi tumpuan warga asing terutama Myanmar dan Bangladesh untuk bekerja dan terbabit perniagaan, terus digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam serbuan terbaru, pihak berkuasa JIM Selangor menerusi Op Bersepadu menyerbu pasar borong berkenaan awal pagi ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi, sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) bertindak 'menggadai nyawa' dengan melintas jalan utama ketika kenderaan sedang bergerak bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Selain itu, dua warga asing turut bersembunyi di dalam longkang besar, namun berjaya dikesan pasukan operasi.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita memeriksa seramai 530 warga asing termasuk 11 wanita.

"Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing itu melakukan kesalahan dokumen perjalanan diri yang sah, menyalahguna pas serta tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Turut hadir Datuk Bandar MBSJ, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Khairrul berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 9:31 AM