Penguat kuasa imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing di Pasar Borong Selangor. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Penguat kuasa imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing di Pasar Borong Selangor. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Seramai 171 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi bersepadu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, jam 4 pagi tadi.

Turut ditahan tiga wanita warga Myanmar dan seorang Indonesia.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Jaimin Sumpit berkata, dalam operasi bersepadu selama empat jam itu, seramai 245 warga asing membabitkan Myanmar, Indonesia dan Bangladesh diperiksa.

Menurutnya, ketika serbuan, ada antara PATI cuba melarikan diri namun kepungan yang dilakukan anggota polis berjaya menghalang tindakan itu.

"Serbuan diadakan selepas kami menerima aduan berhubung kebanjiran warga asing di pasar borong itu.

"Daripada 171 orang yang ditahan, 159 disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit sah manakala 12 lagi mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Menurutnya, semua PATI dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 7:35 PM