BERNAMA

Serdang: Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak daripada dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk bersembunyi di dalam kotak ikan dan longkang, tidak berhasil selepas mereka ditahan dalam operasi yang dilakukan di Pasar Borong Selangor, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan bermula 1 pagi itu, seramai 72 warga asing membabitkan 39 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Bangladesh (19) , Myanmar (sembilan), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga India dan Nepal berjaya ditahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kesemua warga asing berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, ada antara warga asing yang ditahan itu merupakan pemegang kad UNHCR, namun kad yang dikemukakan meragukan.

"Sehubungan itu, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kad tersebut serta pemeriksaan sama ada mereka ini mempunyai dokumen serta permit kerja berdasarkan sektor mengikut permohonan mereka.

Sebahagian warga asing yang diperiksa JIM ketika Op Patuh di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. Foto Zulfadhli Zulkifli
Sebahagian warga asing yang diperiksa JIM ketika Op Patuh di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. Foto Zulfadhli Zulkifli

"Kesemua mereka dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya," katanya selepas menyertai pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Op Patuh di Pasar Borong Selangor di sini yang berakhir 4 pagi.

Beliau berkata, Op Patuh yang berkuat kuasa hari ini akan diteruskan bagi membanteras ketidakpatuhan SOP secara bersepadu dengan menumpukan aspek penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, sebanyak 42,552 premis di seluruh negara diperiksa dalam tempoh 1 Jun hingga semalam.

Dalam tempoh itu, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM2.03 juta kerana pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP.

"Pemantauan sentiasa diteruskan bagi memastikan pematuhan peniaga terutamanya mereka yang di bawah sektor yang dikawal selia KPDNHEP berada pada tahap tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 9:28 AM