ANGGOTA APM memantau keadaan banjir kilat selepas hujan lebat di Kota Belud. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM memantau keadaan banjir kilat selepas hujan lebat di Kota Belud. FOTO ihsan APM
Recqueal Raimi


SEBANYAK 17 kampung di Kota Belud terjejas akibat banjir selepas hujan lebat berterusan selama enam jam sejak 4 petang hari ini.

Bagaimanapun, sehingga 10.20 malam tadi, belum ada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Kota Belud, Paulina Francis, berkata hujan turut menyebabkan paras Sungai Abai meningkat ke paras bahaya 5.76 meter menyebabkan beberapa kawasan dilimpahi air.

“Setakat ini, hujan sudah berhenti namun ia menyebabkan kawasan rendah termasuk jalan raya di 17 kampung dinaiki air sejak 8 malam tadi.

“Pada masa sama, Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Linau, Jalan Lingkodon, Jalan Siasai Tamu, Jalan Kampung Kota Belud dan Jalan Kampung Menunggui, turut dinaiki air serta tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan manakala Jalan Bypass Lebak Moyoh Kudat tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

“Kami masih menjalankan pemantauan dan bersiap sedia untuk membantu jika penduduk perlu berpindah,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Beliau berkata, kampung terjejas setakat ini ialahBobot, Ejuk, Siasai Tamu, Kampung Kota Belud, Menunggui, Sembirai, Lingkodon, Linau dan Kampung Gunding.

Selain itu, Kampung Tanjung Pasir, Wakap, Labuan, l Donggoi, Sadok-Sadok, Marajah, Lebak Engad dan Kampung Keranjangan.

Menurutnya, pengguna kenderaan disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu di Jalan Kampung Piasau - Jalan Kampung Tambulion bagi mereka yang menghala ke kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:10 AM