Recqueal Raimi

SERAMAI 82 penduduk membabitkan 31 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak tengah malam tadi sehingga 8.30 pagi ini, akibat banjir susulan hujan berterusan di daerah Kota Belud.

Difahamkan, dua PPS yang dibuka adalah Dewan Masyarakat Tun Said dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II selepas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dibuka 7.30 malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud, Jimmy Alberto Tining berkata, hasil pemantauan, sebanyak 32 kampung terjejas di daerah ini.

"Dengan bantuan pihak bomba, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), seramai 82 individu dipindahkan membabitkan 50 dewasa, 20 kanak-kanak, enam warga emas, lima bayi dan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

"Banjir ini berlaku disebabkan hujan yang berterusan lebih 9 jam bermula 3 petang, semalam dan menyebabkan air di tiga sungai utama melimpah. Air di Sungai Abai mencecah paras bahaya 6.03 meter."

"Setakat hari ini, cuaca mendung dan sebahagian kampung serta laluan dinaiki air mulai surut namun masih berbahaya dan mangsa banjir belum dibenarkan pulang," katanya.

Menurutnya, kampung terjejas adalah Kampung Kota Belud, Siasai Tamu, Bobot, Ejuk, Menunggui, Lebak Engad, Sembirai, Lingkodon, Donggoi, Marajah, Kampung Lebak Moyoh, Sadok-sadok, Gunding, Linau dan Karang Benai.

Selain itu, kampung turut terjejas ialah Taun Gusi Keranjangan, Tanjung Pasir, Labuan, Tanjung Wakap, Taun Gusi l, Jawi-jawi, Kesapang, Kota Bungan, Tawadakan, Lilud, Merabau, Sangkir, Kota Peladok, Pengkalan Abai, Limatok, Rantai Rosok dan Pirasan.

Sementara itu, jalan yang dinaiki air adalah Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Linau serta Jalan Lebak Moyoh Bypass Kudat tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 8:57 AM
ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba memantau kampung terjejas di daerah Kota Belud. FOTO Ihsan APM
ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba memantau kampung terjejas di daerah Kota Belud. FOTO Ihsan APM