HAMISA (kiri) bersama Abdul Muis keluar dari kediaman Shafie selepas bertemu dengan pemimpin itu di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Bernama
HAMISA (kiri) bersama Abdul Muis keluar dari kediaman Shafie selepas bertemu dengan pemimpin itu di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Bernama
Avila Geraldine dan Norasikin Daineh


WAKIL rakyat Barisan Nasional (BN) yang 'menyeberang' dan menyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) menjelaskan mereka berbuat demikian tanpa syarat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat berkata, beliau bersama lima ADUN BN lain menyokong pembentukan kerajaan campuran WARISAN bersama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah kerajaan stabil untuk kepentingan rakyat.

“Kita masuk sini tanpa syarat (tetapi) untuk membantu rakyat di kawasan kita... kita bukan tinggalkan rakyat tetapi bawa bersama untuk membentuk (kerajaan dan memudahkan) pembangunan," katanya kepada media di kediaman Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, ADUN Kemabong yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar berkata, beliau mewakili pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong merasakan sudah tiba masa untuk bersama Mohd Shafie dalam pembentukan kerajaan negeri.

Beliau mendakwa turut menerima panggilan daripada pihak BN dan STAR, namun mengambil pendirian untuk menyokong Mohd Shafie.

ADUN Kadamaian Ewon Benedick berkata, beliau berada dalam BN semalam kerana berada di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya dan tidak tahu Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau mengumumkan keluar BN dan bersama WARISAN.

“Saya belum berkomunikasi dengan (pemangku) presiden. Jadi selepas berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri untuk menyatakan pendirian awal kita kerana menandatangani satu perakuan awal, namun pada ketika itu Majlis Tertinggi (UPKO) belum buat keputusan (sertai WARISAN).

“Pada sebelah petang, barulah keputusan Majlis Tertinggi dimaklumkan kepada saya dan sebagai ahli parti, saya berpegang kepada keputusan parti.

“Sebelum majlis angkat sumpah (Ketua Menteri) semalam, saya sudah menemui Yang di-Pertua Negeri memaklumkan pendirian terkini saya,” katanya.

Tiga lagi ADUN yang menyertai WARISAN ialah Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) serta Datuk Osman Jamal (Balung).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 9:09 PM